Berita

Perkasa bidang TVET

ABDUL BASIR (empat dari kanan) bersama kepimpinan YWP dan CENTEXS ketika pertemuan membincangkan hala tuju kerjasama.
- Diterbit 12 April 2025 11:00 AM MYT
MENYAMBUT baik seruan kerajaan dalam menjadikan bidang Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) sebagai pilihan utama lepasan sekolah menengah, Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) komited mengadakan kerjasama dengan pelbagai pihak berkaitan.

Terbaharu, YWP menerima kunjungan hormat daripada Centre for Technology Excellence Sarawak (CENTEXS) dan CENTEXS Commercial dalam membuka lebih banyak peluang kepada belia, khususnya TVET.

Pengerusi Jawatankuasa Eksekutif YWP, Dr Abdul Basir V. Kunhimohamed berkata kunjungan hormat tersebut adalah bagi membincangkan peluang kerjasama dalam pembangunan kemahiran, pendidikan serta inisiatif komuniti.

“CENTEXS membuka ruang kepada pelajar-pelajar di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan untuk belajar di CENTEXS dengan mendapat tajaan penuh daripada pihak mereka dalam bidang TVET.

“Menerusi kerjasama ini juga, selepas tamat tempoh pembelajaran, para pelajar diberi jaminan penempatan kerjaya oleh pihak CENTEXS,” katanya.

Mengulas lanjut, Abdul Basir berkata YWP merancang untuk membantu menguar-uar dan menyebarluaskan maklumat peluang keemasan buat mereka yang berminat untuk mengikuti kursus dalam bidang TVET.

“YWP sedia maklum bahawa TVET digariskan sebagai ‘Meningkatkan Pembangunan Modal Insan untuk Negara Maju’ yang bermatlamat menghasilkan modal insan berpengetahuan, berkemahiran dan sikap yang bersesuaian untuk berjaya dalam ekonomi global.

“Bagi pihak YWP, kami percaya setiap peluang untuk meningkatkan taraf hidup khususnya melalui pendidikan, jika tidak dibantu atau disokong akan menyukarkan perjalanan seseorang itu untuk mencapai kejayaan.

“Ini menunjukkan komitmen kami dalam memberikan peluang kepada warga Wilayah Persekutuan untuk mendapatkan pendidikan dan latihan yang berkualiti,” katanya.

Jelasnya YWP melihat ini adalah satu peluang yang baik kepada warga Wilayah Persekutuan terutamanya dari golongan belia untuk memajukan diri dan menguasai pasaran TVET yang semakin berkembang.

“Diharapkan perbincangan ini membuka lebih banyak peluang kerjasama yang memberi manfaat kepada masyarakat,” katanya.

Terdahulu CENTEXS mengadakan kunjungan hormat ke Wisma YWP yang diketuai oleh Timbalan Pengarah Pentadbiran Am (CENTEXS Lundu) merangkap Ketua Pengurusan Perkongsian & Pembangunan Perniagaan, CENTEXS Kuching, Ruhazlina Syam Abdol Hazis.

Hadir sama Penolong Pengurus, Pengurusan Perkongsian & Pembangunan Perniagaan, CENTEXS Kuching, Muhammad Shahmi Marjuki dan Pengurus Kanan, Sumber Manusia & Pentadbiran CENTEXS Commercial, Kamarul Zaman Rasdi. – WILAYAHKU
Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas