SETIAP agensi di bawah Wilayah Persekutuan diminta menetapkan sasaran dan fokus untuk mengembangkan potensi tiga wilayah iaitu Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan menerusi pelbagai inisiatif dan agenda khusus.
Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa, langkah yang diambil perlu membawa perubahan ketara dan turut dirasai oleh keseluruhan warga Wilayah Persekutuan.
“Kita telah menetapkan sasaran masing-masing untuk setiap agensi di bawah Wilayah Persekutuan agar dapat memberi tumpuan dan keutamaan pada 2025. Untuk memastikan segala inisiatif kita bergerak dalam satu hala tuju yang jelas, penglibatan suara komuniti sosial dan pelarasan gerak kerja dalam meningkatkan sosioekonomi rakyat perlu dilaksanakan.
“Tahun lalu, kita lihat kejayaan yang besar dalam pelaksanaan Program Usaha Jaya Insan (PUJI). Namun, kita perlu untuk perkukuhkan lagi ekosistem itu dengan melipatgandakan usaha dalam membantu rakyat yang memerlukan,” katanya di Majlis Aspirasi bersama warga Wilayah Persekutuan dan agensi pada Rabu.
Zaliha berkata, beliau mahu agensi meluaskan skop pelaksanaan PUJI ini dengan melibatkan lebih ramai penerima dan tidak tertakluk kepada data e-Kasih semata-mata.
“PUJI juga boleh dipanjangkan kepada kumpulan rentan yang lain, seperti golongan miskin, ibu tunggal, belia dan warga tua. Bagi melaksanakannya, kita tidak hanya perlu menunggu data yang dikemukakan, sebaliknya kita sendiri perlu menggerakkan jentera untuk turun dan mengenal pasti siapakah kumpulan tersebut,” ujarnya.
Selain itu, beliau berkata, pihaknya merancang untuk membangunkan pelan tindakan khas bagi warga emas berikutan peningkatan golongan itu demi memastikan mereka dapat menikmati kualiti hidup lebih baik dari segi ekonomi dan sosial.
“Seperti semua sedia maklum, mengikut statistik yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan, Malaysia dijangka akan beralih ke status negara menua atau aging nation pada tahun 2030, iaitu lima tahun sahaja dari sekarang, di mana pada ketika itu populasi warga emas dianggarkan 15 peratus (%) daripada populasi keseluruhan rakyat Malaysia.
“Di Wilayah Persekutuan, ketika ini 9.18% rakyat dalam usia warga emas, iaitu 60 tahun dan ke atas.
“Pada 10 Januari lalu, saya telah mengadakan sesi Temu Rapat bersama persatuan, wakil masyarakat dan organisasi berkaitan warga emas di Wilayah Persekutuan. Daripada dapatan Temu Rapat tersebut, saya lihat ada keperluan penting untuk kita mengkaji pelaksanaan ekosistem Silver Economy ini bagi memanfaatkan potensi dan keperluan warga emas dalam usaha untuk merangsang pertumbuhan ekonomi negara.
“Sehubungan itu, saya minta Jabatan Wilayah Persekutuan untuk mengadakan satu sesi libat urus dengan kumpulan-kumpulan yang lebih kecil dan menyediakan Pelan Tindakan Warga Emas Wilayah Persekutuan untuk kita pastikan kumpulan ini dapat ditangani dengan baik dan berkesan,” katanya.
Dalam masa sama, Zaliha berkata belia merupakan golongan terbesar dalam struktur masyarakat di negara kita yang mana ia jelas menunjukkan bahawa mereka adalah aset negara yang amat bernilai.
“Justeru kita perlu melibatkan golongan belia dalam aktiviti sumbang saran kepada pembuatan keputusan di Wilayah Persekutuan kerana mereka merupakan antara segmen rakyat penting di dalam negara kita yang perlu kita raikan pandangan mereka,” katanya. – WILAYAHKU