Berita

Perkampungan haram diroboh

PENGUATKUASA DBKL memasang notis perobohan ke atas struktur haram.
- Diterbit 7 Jun 2024 10:20 AM MYT

MESKIPUN belum dilancarkan secara rasmi oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang merupakan sebahagian daripada Pasukan Khas KL Strike Force bakal melaksanakan perobohan struktur haram yang terletak di sebuah perkampungan haram yang dibuka warga asing di Sentul.

Dalam satu kenyataan, DBKL memaklumkan tindakan itu diambil susulan daripada serbuan yang telah dijalankan ke atas perkampungan haram tersebut sebelum ini.

“Tindakan susulan yang diambil adalah dengan mengeluarkan notis penguatkuasaan tujuh hari terhadap struktur haram di kawasan tersebut bermula 30 Mei 2024,” katanya.

Menurut DBKL, sebanyak 37 notis penguatkuasaan telah dikeluarkan di bawah Seksyen 46(1)(a) Akta 133 Akta Jalan Parit dan Bangunan 1974.

“Tindakan penguatkuasaan roboh akan dilaksanakan selepas tamat tempoh notis,” katanya.

DBKL berkata sebagai rekod, sebanyak 28 struktur kediaman, satu struktur surau dan tiga struktur kedai runcit milik bukan warganegara serta dua struktur kedai barang lusuh/besi buruk dan tiga struktur kediaman milik warganegara didapati berada di atas tanah tersebut.

Terdahulu, sebidang tanah milik DBKL di Sentul yang dijadikan perkampungan haram dihuni sebahagian besarnya etnik Rohingya diserbu Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) pada 28 Mei lalu.

Penempatan tersebut turut dilengkapi kemudahan elektrik dan air serta dijadikan  kampung halaman dengan bercucuk tanam dan memelihara haiwan ternakan selain mempunyai kemudahan kedai runcit sendiri.

Operasi yang diketuai oleh Ketua Pengarah Imigresen Datuk Ruslin Jusoh telah memeriksa 123 warga asing yang terdiri daripada warga Myanmar 95 orang, warga India 21 orang selain tujuh warga Indonesia.

Warga asing ini dipercayai menyewa rumah daripada warga tempatan yang turut membekalkan bekalan elektrik kepada mereka. Mereka membayar kira-kira RM400 sebulan untuk sewaan rumah tersebut.

Warga asing terbabit tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah dan telah tinggal di negara ini melebihi masa. Kesemua warga asing berkenaan disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas