PENYEKSAAN dan kezaliman terhadap petugas media sejak hampir 10 bulan lalu merupakan jenayah kejam yang secara jelas menunjukkan Israel terus berusaha untuk menutup jenayah kemanusiaan dahsyat yang dilakukan terhadap rakyat Palestin.
Berdasarkan laporan Pejabat Media Kerajaan Gaza, sehingga kini jumlah wartawan Palestin yang terbunuh dalam serangan Israel di Semenanjung itu mencecah 165 orang sejak 7 Oktober 2023.
Selain itu, angka kematian rakyat Palestin akibat serangan tersebut melebihi 39,000 orang serta lebih 91,000 individu mengalami kecederaan di mana majoritinya adalah wanita dan kanak-kanak.
Rentetan itu, seluruh masyarakat antarabangsa diseru untuk terus memberikan sokongan dan pertolongan kepada rakyat Palestin dalam mendapatkan hak kembali ke tanah air mereka. Dunia tidak boleh beralih fokus kepada isu lain termasuk dakwaan tindakan ganas pejuang Palestin tanpa melihat kepada faktor utama kekacauan yang tidak pernah diselesaikan.
Terdahulu, ribuan orang ramai menghadiri Himpunan Pembebasan Palestin untuk menyatakan sokongan Malaysia kepada rakyat Palestin yang diadakan di Axiata Arena, Bukit Jalil. Himpunan tersebut antara lain bertujuan untuk menyampaikan mesej kepada dunia bahawa Malaysia mengutuk pembunuhan Ismail Haniyeh sekali gus menentang kekejaman rejim Zionis yang tidak berkesudahan. – WILAYAHKU