Berita

Perjanjian gencatan senjata di Lubnan: Perkara sama turut dituntut dilaksanakan di Gaza

GAMBAR hiasan. Kredit foto: REUTERS
- Diterbit 28 November 2024 3:30 PM MYT

GENCATAN senjata pada kadar segera dan kekal perlu juga dilaksanakan di Gaza, sama seperti dilakukan rejim zionis dengan Lubnan.

Wisma Putra berkata, ini termasuk memulihkan semula akses tanpa sekatan kepada bantuan kemanusiaan.

“Keamanan di Asia Barat hanya akan dicapai apabila wujudnya Palestin yang merdeka, bebas dan berdaulat,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Menurut Wisma Putra, Malaysia menyambut baik perjanjian gencatan senjata di Lubnan dan menekankan perkembangan positif itu adalah usaha awal yang penting.

Ini katanya, ke arah mengurangkan ketegangan dan mengembalikan keamanan dan kestabilan di rantau berkenaaan.

Jelasnya, Malaysia menggesa semua pihak untuk menghormati dan mematuhi syarat gencatan senjata tersebut.

“Malaysia mengulangi gesaan untuk menghormati undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan Resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang berkaitan termasuk Resolusi 1701 (2006).

“Perkara itu merangkumi perlindungan ke atas orang awam dan akses bantuan kemanusiaan tanpa halangan kepada rakyat Lubnan yang telah menderita akibat konflik berpanjangan,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas