Berita

Perjalanan tahun baharu Harimau Malaya penuh dengan harapan

KREDIT foto: BERNAMA.
- Diterbit 1 Januari 2024 1:35 AM MYT

SKUAD Harimau Malaya bimbingan Kim Pan Gon akan berlepas ke Doha, Qatar awal pagi ini bagi menghadapi cabaran Piala Asia 2023 yang dijadualkan berlangsung dari 12 Januari sehingga 10 Februari 2024.

Kesemua pemain dan barisan kejurulatihan kelihatan segar dan bersemangat, selain sempat mengucapkan Selamat Tahun Baharu kepada peminat dan kumpulan media yang menanti ketibaan mereka di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 di sini, tengah malam ini.

Pasukan negara dijadual berlepas ke Doha pukul 2.25 pagi ini menaiki pesawat Malaysia Airlines penerbangan MH164.

Malaysia yang menamatkan penantian 42 tahun layak secara merit ke Piala Asia akan memulakan kempen saingan Kumpulan E menentang Jordan pada 15 Januari, Bahrain (20 Januari) dan juara dua kali Korea Selatan pada aksi terakhir 25 Januari.

Skuad Harimau Malaya menyasarkan untuk melakar sejarah layak ke pusingan 16 terbaik buat julung kali selepas terkandas di peringkat kumpulan dalam tiga edisi terdahulu.

Sebagai pemanas badan, anak buah Pan Gon akan berdepan Syira pada perlawanan persahabatan antarabangsa di Doha, 8 Januari ini.

Kali terakhir Malaysia beraksi di Piala Asia adalah ketika menjadi tuan rumah bersama pada 2007. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas