KAWASAN perumahan Program Perumahan Rakyat (PPR) atau Perumahan Awam (PA), termasuk di Kuala Lumpur, sering dianggap sebagai tempat yang suram. Kebersihan kurang memuaskan sementara kemudahan awam seperti lif sering rosak kerana tidak dijaga dengan baik.
Tetapi bagi kawan-kawan Kedai Kopi, anggapan seperti ini boleh dielak jika penghuni mengutamakan kebersihan dan keindahan. Lakukan ini atas inisiatif sendiri, tidak hanya bergantung kepada kerajaan.
Dalam hubungan ini kawan-kawan Kedai Kopi tertarik dengan usaha yang dilakukan oleh penduduk PPR Lembah Subang, khususnya yang tinggal di Tingkat 10. Mereka bersepakat dan komited menjadikan kediaman mereka segar dan cantik dipandang mata.
Mereka bersama-sama mencantikkan bahagian luar kediaman di tingkat tersebut. Hasil usaha gigih menjadikan kediaman tersebut berseri-seri. Antara yang dilakukan ialah mengecat dinding, meletakkan dekorasi, menggantikan lantai simen dengan jubin serta menghias dinding.
Memang terpesona melihat perubahan bangunan. Hasil usaha penduduk menjadikan kediaman PPR itu seperti kediaman mewah, bersih dan menyegarkan mata.