BAGI memacu semula sektor pelancongan khususnya di Pulau Rusukan Besar, Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) akan terus membantu dari aspek pembangunan, pengindahan serta peremajaan semula pulau.
Usaha murni tersebut dilaksanakan oleh JWP menerusi Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Pembersihan dan Pengindahan Pulau Rusukan Besar dengan kerjasama Persatuan Penggiat Media, Yayasan Sukarelawan Siswa serta membabitkan 300 sukarelawan.
Ketua Pengarah JWP, Datuk Noridah Abdul Rahim berkata penganjuran program tersebut selaras dengan arahan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa yang mahu melihat pelancongan di Labuan dipacu semula.
Katanya, Program CSR itu dilaksanakan secara bersiri sebanyak tiga kali dan kali ini melibatkan seramai 100 sukarelawan bagi kerja-kerja pembersihan pulau secara menyeluruh.
“Siri seterusnya akan diadakan pada 13 hingga 16 September 2024 yang melibatkan kerja-kerja pembersihan dan pengindahan termasuk kerja-kerja membaiki fasiliti sedia ada seperti anjung tinjau, jeti, tandas, ruang makan dan melukis mural-mural hiasan.
“Siri terakhir akan dilaksanakan pada 27 hingga 28 September ini dengan merangkumi final touch up oleh penggiat media dan pelaksanaan aktiviti promosi dan publisiti menerusi rakaman kandungan digital berkaitan Wilayah Persekutuan Labuan, lokasi-lokasi pelancongan termasuk keindahan Pulau Rusukan Besar agar dapat dikongsi oleh netizen dengan naratif positif sekali gus menaikkan rating keunikan Pulau Labuan.
“Ini adalah salah satu usaha kita untuk melestarikan alam sekitar dan menggalakkan semula aktiviti pelancongan di Labuan khususnya Pulau Rusukan Besar ini sebagai destinasi pelancongan utama di Labuan,” katanya kepada pemberita pada Program CSR Pembersihan dan Pengindahan Pulau Rusukan Besar, baru-baru ini.
Noridah memaklumkan pihaknya telah meluluskan beberapa peruntukan infrastruktur kemudahan di pulau tersebut termasuklah pembaikan jeti jambatan yang ketika ini telah roboh selain kerja-kerja pembaikan itu akan dijalankan dalam masa terdekat.
“Saya berharap dengan usaha ini kita semua termasuklah komuniti setempat akan terus peka untuk bersama-sama menjaga kelestarian kerana ini adalah produk pelancongan Labuan yang perlu diangkat dan dijaga dengan sebaiknya,” katanya. – WILAYAHKU