Berita

Perdana Menteri zahir penghargaan buat petugas bencana banjir

Foto: BERNAMA
- Diterbit 3 Disember 2024 10:58 AM MYT

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan penghargaan kepada pasukan keselamatan, petugas kesihatan dan seluruh agensi kerajaan di atas penat lelah mereka menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir.

Penghargaan itu dizahirkan perdana menteri menerusi akaun facebooknya.

“Saya hargai usaha dan semangat tinggi dipamerkan pasukan keselamatan, petugas kesihatan serta seluruh agensi kerajaan persekutuan dan negeri yang bertungkus lumus membantu menguruskan kebajikan dan keperluan mangsa banjir ketika ini.

“Penat lelah sehingga terpaksa berjauhan serta meninggalkan keluarga mereka, akan dikenang sebagai satu pengorbanan besar yang tidak ternilai kepada rakyat dan negara,” ujar Anwar.

Dalam pada itu, perdana menteri menyeru sektor swasta untuk bersama-sama terlibat dalam misi membantu mangsa banjir.

“Kepada sektor swasta, ayuh kita harungi bersama dan semarakkan semangat kebersamaan untuk terlibat dalam misi membantu rakyat yang memerlukan serta dilanda kesusahan saat ini.

“Seharusnya semua pihak harus turun padang dan sama-sama membantu meringankan beban ditanggung sehingga mereka yang terkesan ini dapat menjalani kehidupan seperti sediakala,” katanya lagi.

Terdahulu perdana menteri membuat tinjauan bencana banjir di Kuala Terengganu pada Ahad.

Selain Kuala Terengganu, beliau turut menziarahi mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS), Sekolah Kebangsaan Mangkok, Setiu.

Ketibaan Perdana Menteri di Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Mahmud disambut Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas