Berita

Perdana Menteri sudah bertindak pastikan Najib dapat pengampunan – Peguam Kanan

- Diterbit 7 Januari 2025 2:48 PM MYT

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah bertindak melebihi tuntutan undang-undang bagi memastikan Datuk Seri Mohd Najib Razak mendapat pengampunan di raja.

Menurut Peguam Kanan, Dr Zulqarnain Lukman, proses pengampunan Mohd Najib itu sendiri adalah satu perkara yang luar biasa jika dibandingkan dengan banduan atau tahanan lain.

“Tahanan Maunah misalnya menunggu berpuluh tahun sebelum mereka diberikan pengampunan. Begitu juga dengan pengampunan PMX (Anwar) hanya dibuat setelah 10 tahun meringkuk dalam penjara,” katanya dalam hantaran di facebooknya hari ini.

Jelas Zulqarnain, menerusi ucapan Perdana Menteri di hadapan mahasiswa Universiti Teknologi MARA (UiTM) dalam program pelancaran FlySiswa pada 12 Disember lalu, beliau menyatakan pihaknya melihat tiada agenda untuk membincangkan petisyen pengampunan Najib dalam sidang Lembaga Pengampunan dan telah menghadap YDPA untuk memohon bagi memasukkan agenda tersebut.

“Ini suatu tindakan yang mulia dan bertanggungjawab jika mengambil kira Anwar pernah masuk penjara pada zaman Najib dan tidak pernah mendapat pembelaan sedemikian daripada Najib,” kata beliau.

Zulqarnain turut berkata bahawa Istana Negara telah mengeluarkan satu kenyataan media pada 3 Januari lalu dan menegaskan kuasa Yang di Pertuan Agong (YDPA) di bawah Perkara 42(1) Perlembagaan untuk memberi ampun, tunda hukum atau lega hukum.

“Kenyataan seperti ini seperti memberikan isyarat bahawa YDPA terbuka untuk menerima apa-apa permohonan lega hukum yang baharu daripada Najib.

“Oleh itu, isu untuk Anwar meletakkan jawatan atau menyorokkan maklumat adalah tidak berbangkit langsung kerana semua yang dilaksanakan oleh Perdana Menteri itu adalah selaras dengan kehendak undang-undang,” katanya.

Menurutnya, jika dilihat kepada kes rayuan ini, hakim Mahkamah Rayuan menanyakan kepada peguam negara kenapakah mereka tidak memberikan sebarang maklum balas berkaitan kewujudan adendum ini dan hakim tidak pula menyalahkan Perdana Menteri.

“Peguam Negara selaku badan penasihat tertinggi kerajaan terhadap isu undang-undang pastinya sudah menasihati tindakan yang wajar dibuat oleh Perdana Menteri dan telah patuh terhadap nasihat itu sehinggakan sewaktu ditanyakan dalam parlimen berkaitan isu ini beliau menyatakan kesediaannya untuk menjelaskan selepas kes Najib selesai.

“Mungkin pihak peguam negara perlu segera memberikan penjelasan mengenai hal ini dan pendirian mereka terhadap titah adendum tersebut,” katanya.

Beliau bagaimanapun menempelak PAS dan parti pembangkang yang menggesa Perdana Menteri meletakkan jawatan kerana kononnya telah menderhaka kepada Raja.

“Dalam hal ini, PAS pula tidak nampak menyalahkan peguam negara dan menuntut supaya peguam negara meletakkan jawatan.

“Mungkin pihak PAS melihat tiada lagi cara untuk mereka menggerakkan gerakan tebuk atap maka mereka menggunakan cara murahan sebegini untuk menggenapkan atau menchukopkan jumelooh yang diidam-idamkan itu,” katanya. – WILAYAHKU

[Iklan]

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas