PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu semua rakyat Malaysia tanpa kira kaum dan agama mengibarkan jalur gemilang sepanjang tempoh bulan kemerdekaan.
Menurut Anwar, kibaran jalur gemilang tersebut sebagai tanda hebat dan taat setia kepada negara.
“Mulai hari ini komuniti MADANI, setiap jabatan, rakyat, warung, kaya, miskin, di kota dan desa kita nak pastikan tunjuk kamu itu bersama ‘Jiwa Merdeka’ , hebatkan Malaysia.
“Saya percaya kita bagi mesej dengan jelas, pengorbanan orang dahulu dengan ibu-ibu di kampung sanggup keluarkan rantai dan perhiasan untuk dijadikan tabung perjuangan demi membiayai kos penerbangan pemimpin-pemimpin terdahulu ke London demi mencapai kemerdekaan.
“Tetapi itu pengorbanan mereka, kini saya hanya minta anda semua untuk bersama-sama kibarkan jalur gemilang, ” katanya.
Beliau berkata demikan ketika berucap pada Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2024 di Cyberjaya hari ini.
Tambah Anwar, bersempena sambutan Hari Kebangsaan kali ini yang bertema ‘Malaysia MADANI: Jiwa Merdeka’ mahu tahun ini dijadikan sebagai tahun mempamer kemegahan rakyat dan negara.
“Ini bukan isu kaum, parti, kedudukan, atau pekerjaan, ini soal jati diri, soal maruah dan soal harga diri, satu negara bila merdeka kibaran bendera mestilah meluas di seluruh negara.
“Kibaran jalur gemilang di pasang di setiap gerai, warung, rumah, masjid, kuil, gereja, tiap jabatan, jadi pastikan kita jadikan tahun ini sbg tahun pamerkan kemegahan rakyat dan negara kita,” ujarnya.
Perdana Menteri menegaskan, pada peringkat sektor awam termasuk jabatan dan agensi, Ketua Setiausaha Negara akan memantau untuk memastikan setiap premis kerajaan mengibarkan Jalur Gemilang.
Sementara itu, Perdana Menteri juga mahu sektor swasta bersama bagi mengibarkan jalur gemilang.
“Dalam hal ini kita kena bersatu pendirian, sikap dan matlamat, untuk mengangkat martabat Malaysia sebagai negara yang gemilng di rantau ini,” tegasnya. – WILAYAHKU.