KEPIMPINAN Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang disegani di peringkat antarabangsa merupakan suatu kelebihan bagi menjamin hubungan diplomatik yang baik di serata dunia mahupun dalam kalangan negara ASEAN.
Mohd Afzanizam Abdul Rashid yang merupakan Ketua Penganalisis Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Berhad berkata, kepengerusian ASEAN 2025 bakal digunakan oleh Perdana Menteri bagi menerajui dasar ekonomi.
“Ini yang bersifat terangkum terutamanya dari aspek pelaburan dan perdagangan terutamanya dalam kalangan negara ASEAN.
“Isu seperti keanggotaan BRICS dijangka menjadi agenda penting terutamanya dalam konteks pentadbiran Amerika Syarikat yang akan terus bersifat melindungi industri tempatnya,” katanya.
Mengulas lanjut, Afzanizam berkata perkara itu perlu diurus dengan baik kerana globalisasi perlu berlaku kerana negara-negara serantau begitu saling berkait antara satu sama lain terutamanya rantaian perniagaan.
Beliau berkata, sudah pasti ASEAN mahukan ekosistem yang menggalakkan globalisasi yang mana manfaatnya akan dinikmati oleh seluruh negara anggota melalui beberapa perjanjian perdagangan bebas yang telah ditandatangani mahupun yang sedang dibincangkan.
Terdahulu, Anwar sebagai Pengerusi Perkumpulan Serantau turut mengukuhkan hubungan bersama rakan tradisional ASEAN iaitu China, Jepun dan Korea Selatan. – WILAYAHKU