FASA pertama perdagangan Tenaga Boleh Baharu (TBB) merentas sempadan dari Malaysia ke Singapura dengan kapasiti 50MW akan dimulakan pada bulan Disember 2024.
Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air dalam kenyataan menjelaskan pembekalan elektrik hijau merentas sempadan dari Malaysia ke Singapura yang julung kali diadakan adalah hasil daripada pelaksanaan bidaan menerusi Energy Exchange Malaysia (ENEGEM) pada bulan Jun 2024.
“ENEGEM ini membolehkan perolehan dan pembekalan elektrik hijau daripada sistem bekalan elektrik Malaysia ke Singapura dilakukan secara bidaan kompetitif.
“TNB sebagai syarikat utiliti nasional akan membekalkan elektrik tersebut ke Singapura menerusi Syarikat Sembcorp Power dengan menggunakan rangkaian sambung tara sedia ada di antara kedua-dua negara,” tulisnya.
Terdahulu, satu majlis menandatangani Perjanjian Bekalan Tenaga Boleh Baharu atau Renewable Energy Supply Agreement (RESA) antara Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Sembcorp Power Pte Ltd (Sembcorp Power) disaksikan wakil kerajaan kedua-dua negara diadakan di Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA). – WILAYAHKU