Oleh SABRINA SABRE & DIANA AMIR
MALAYSIA mencatatkan kadar perceraian yang tinggi dalam kalangan keluarga muda atau perkahwinan di bawah usia 10 tahun.
Menurut Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri, mengambil kira kadar perceraian dalam kalangan perkahwinan muda yang tinggi, Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga (LPPKN) membangunkan program tambahan.
“Ia adalah SMARTSTART 2nd Honeymoon, iaitu program bagi memperkasa perkahwinan khusus kepada pasangan dengan usia perkahwinan lima tahun ke atas,” katanya.
Mengulas lanjut, Nancy berkata dalam usaha memperkasa institusi keluarga, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) melalui LPPKN telah memperkenalkan program bersesuaian di pelbagai fasa perkahwinan iaitu dari sebelum dan di awal perkahwinan serta seiring perkembangan keluarga.
“Bagi pasangan yang ingin mendirikan rumah tangga, kursus praperkahwinan yang ditawarkan LPPKN menyasarkan untuk memberi pengetahuan dan kemahiran kepada peserta mengenai persediaan sebelum melangkah ke alam perkahwinan.
“Manakala untuk pasangan yang baru mendirikan rumah tangga, LPPKN turut menyediakan perkhidmatan berhubung perancangan keluarga dan buat pasangan yang menghadapi masalah mendapatkan anak, LPPKN menawarkan perkhidmatan rawatan kesuburan,” katanya.
Tambahnya bagi golongan ibu muda pula, LPPKN menyediakan perkhidmatan penjagaan ibu selepas bersalin, MamaCare, bertujuan membantu pemulihan kesihatan mereka untuk kembali aktif termasuk kembali bekerja.
“Kita juga menawarkan program keibubapaan anak kecil, khususnya untuk membantu mereka yang kali pertama menjadi ibu bapa dalam memberi pengetahuan dan kemahiran sewajarnya.
“Kita mengetahui adat dalam perkahwinan, pasangan kadang kala mungkin berhadapan dengan pelbagai dugaan dan memerlukan khidmat sokongan keluarga, justeru LPPKN turut menyediakan khidmat kaunseling perkahwinan bagi membantu pasangan menangani konflik dan krisis rumah tangga.
“Konflik dan cabaran dalam keluarga boleh meningkat seiring perkembangan keluarga dan dalam hal ini, bagi pasangan dwi kerjaya, LPPKN turut menawarkan Kursus Keluarga@Kerja bagi membantu mereka mengimbangi keluarga dan kerjaya.
“Antara tumpuan program ini adalah gaya keibubapaan kreatif, pengurusan tekanan dan pengurusan konflik interpersonal,” ujar beliau.
Nancy berkata setiap program disediakan untuk pelbagai fasa perkahwinan itu bertujuan membantu pasangan melengkapkan diri mereka dengan pengetahuan, ilmu, amalan terbaik, perkongsian tip dan menggalakkan sikap keterbukaan dan jujur terhadap diri dan pasangan dalam
setiap fasa.
“Bagaimanapun, kebahagiaan dan kesejahteraan sesebuah perkahwinan tetap bergantung kepada peranan dimainkan pasangan itu sendiri.
“KPWKM melalui agensinya, LPPKN akan terus komited meneruskan agenda pemerkasaan institusi perkahwinan dan keluarga menerusi pelaksanaan pelbagai inisiatif ke arah pembentukan keluarga yang harmoni dan sejahtera selaras acuan masyarakat Malaysia MADANI,” katanya. – WILAYAHKU