Berita

Perbicaraan Bob Jeffry ditangguh sehingga Mac tahun depan

- Diterbit 29 November 2023 7:34 AM MYT

MAHKAMAH Sesyen 11 Shah Alam hari ini menetapkan 4 Mac depan untuk tarikh perbicaraan bekas Timbalan Pegawai Eksekutif, Bob Jeffry Bob Fauzi Ziegler yang berdepan dengan pertuduhan pecah amanah wang syarikat.

Hakim Mohamad Anas Mahadzir yang mendengar kes itu menetapkan lima hari untuk perbicaraan iaitu 4 Mac, 22 dan 23 April serta 7 dan 8 Mei 2024.

Perbicaraan yang sepatutnya bermula semalam telah ditangguhkan oleh mahkamah berikutan peguam tertuduh membangkitkan beberapa bantahan awal.

Selain itu, peguam tertuduh juga mendakwa mereka tidak diberikan sebarang senarai saksi dan pernyataan bertulis fakta oleh pihak pendakwa mengikut Seksyen 51A Kanun Tatacara Jenayah.

Hari ini pula, mahkamah sekali lagi menangguhkan perbiacaraan atas permohonan pendakwa raya dengan alasan pihaknya banyak memerlukan masa untuk menyediakan semua kenyataan saksi.

Di samping itu, pendakwa raya juga memaklumkan mereka memerlukan lebih banyak masa bagi memastikan semua dokumen dan kertas disiapkan secara teratur.

Selepas itu, mahkamah memanggil semua pihak dalam kamar bagi membincangkan beberapa perkara.

Antaranya, tertuduh bersetuju dengan penyelesaian secara damai sementara menunggu maklum balas daripada pengadu iaitu sebuah syarikat minyak dan gas tempatan.

Berikutan itu juga, pihak peguam bela dan pendakwa raya dimaklumkan tarikh perbicaraan dari Mac hingga Mei tahun depan ditetapkan berikutan mahkamah mempunyai jadual penuh sepanjang Januari dan Februari 2024.

Bob Jeffery, 37, yang juga adik kepada pelakon, Julia Ziegler pada 26 September lalu mengaku tidak bersalah terhadap tiga pertuduhan melakukan pecah amanah apabila mengemukakan tuntutan palsu bagi memperoleh wang sebanyak RM433,557 untuk kegunaannya.

Beliau didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman dipenjara kurang setahun dan tidak lebih 14 tahun bagi setiap pertuduhan.

Pada masa sama, beliau juga berhadapan dengan hukuman sebat dan denda jika didapati bersalah.-WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas