Berita

Perbanyakkan simpanan demi masa tua yang lebih baik

ANWAR (tengah) ketika merasmikan 2024 anjuran KWSP baru-baru ini
- Diterbit 7 Jun 2024 9:00 AM MYT

NEGARA Malaysia sememangnya mengalami peralihan demografi ke arah penduduk yang lebih tua. Fenomena ini disebabkan oleh pelbagai faktor seperti penjagaan kesihatan yang lebih baik membawa kepada jangka hayat yang lebih lama, penurunan kadar kelahiran dan perubahan corak gaya hidup.

Akibatnya, negara menghadapi cabaran berkaitan perkhidmatan penjagaan kesihatan, sistem pencen dan produktiviti tenaga kerja.

Kerajaan bersama pihak-pihak yang berkaitan sedang giat menangani isu-isu ini untuk memastikan kesejahteraan penduduk yang semakin tua.

Dekan Fakulti Ekologi Manusia Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Dr Mohamad Fazli Sabri berkata semua pihak terutamanya orang ramai harus memandang serius dengan isu pencen atau wang persaraan negara.

“Isu pencen atau wang simpanan persaraan ini adalah bukan isu baharu, malah ia sudah banyak kali dibincangkan sama seperti isu kos sara hidup.

“Bila kerajaan sering kali highlight maka ia adalah satu isu besar yang harus menjadi perhatian semua pihak,” katanya ketika dihubungi.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan hanya 29 peratus rakyat Malaysia mempunyai pencen atau pendapatan seperti pencen apabila bersara.

Pada masa sama, Anwar berkata data Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menunjukkan satu daripada empat pencarum telah menghabiskan simpanan KWSP mereka dalam tempoh lima tahun selepas mencapai umur pengeluaran.

Menurut Perdana Menteri, tinjauan baru-baru ini juga mendapati 26.1 peratus daripada responden berumur 60 tahun ke atas akan terus bekerja sehingga kesihatan mereka tidak mengizinkan untuk bekerja.

“Ini adalah kerana mereka menghadapi cabaran dalam mencapai jaminan pendapatan untuk membiayai keperluan persaraan mereka. Justeru itu kita perlu aktif mencari pembaharuan dalam rangka kerja pencen bagi memastikan setiap generasi akan dapat melihat ke hadapan untuk menjadi tua dengan martabat.

“Penyelesaian baru diperlukan untuk memastikan tiada sesiapa yang ketinggalan di belakang dan setiap lapisan masyarakat mendapat manfaat daripada perlindungan sosial.

“KWSP perlu memperluaskan perlindungan mereka secara berperingkat supaya lebih ramai penduduk bekerja akan menjadi sebahagian daripada ekosistem KWSP, sekali gus dapat memastikan lebih ramai rakyat mampu mengumpul simpanan persaraan yang mencukupi,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan Persidangan Kesejahteraan Sosial Antarabangsa (ISWC) 2024 anjuran KWSP baru-baru ini.

Sementara itu menurut Mohamad Fazli, angka hanya 29 peratus rakyat Malaysia mempunyai pencen atau pendapatan seperti pencen adalah perkara yang membimbangkan.

“Ia satu angka yang sangat membimbangkan, bagaimana rakyat atau warga tua mahu menjana pendapatan, mahu punyai kewangan.

“Peningkatan kos sara hidup akan sentiasa berlaku, natijahnya bila menjelang tua kesihatan juga makin merosot, memerlukan kos perubatan, ini juga akan menambahkan lagi kos-kos perbelanjaan.

“Oleh itu angka punyai persaraan itu adalah sesuatu yang menggusarkan dan perlu diberi perhatian oleh semua pihak,” jelasnya.

Walau bagaimanapun, tegas beliau, terdapat pelbagai langkah proaktif yang boleh diambil masyarakat bagi memastikan keselesaan di masa tua kelak.

Mohamad Fazli berkata antaranya seperti anak-anak muda untuk terus menabung dan jangan berbelanja berlebihan yang mengakibatkan menanggung bebanan kewangan di masa hadapan.

“Amalan menabung adalah satu amalan yang sangat baik, biarpun nilainya sedikit namun, lama-lama akan jadi bukit jua.

“Selain itu, boleh kembangkan juga wang dengan pelaburan seperti Unit Trust, emas dan macam-macam lagi selagi ia tidak mengganggu atau menyukarkan bebanan kewangan selain daripada wang persaraan KWSP.

“Berbelanja mengikut kemampuan diri, fikirlah untuk masa hadapan, banyak manfaat yang diperoleh dengan budaya menyimpan atau menabung sebagai kegunaan kecemasan dan masa hadapan,” tegasnya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas