SEIRING gagasan Malaysia Madani, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu pembinaan rumah mampu milik diperbanyakkan di Kuala Lumpur bagi membantu golongan sasar memiliki kediaman dengan harga berpatutan.
Beliau agak sinis dengan unjuran kerajaan sebelum ini yang hanya menetapkan sasaran jumlah pembinaan tetapi sasaran itu tidak berhasil.
“Selama ini satu menteri datang 100,000 rumah, 200,000 rumah tetapi tidak berhasil. Sebab itu, saya beritahu Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), saya nak tahu bulan ini berapa, untuk tahun depan berapa. Jadi, ia lebih baik dan kita boleh buat keputusan berdasarkan unjuran itu.
“Umpama sekarang ini 10,000 diperlukan dan buat sebelum Disember. Bagi saya lebih realistik kerana pengalaman kita, janji dan politik yang lunak itu tidak pernah dilaksanakan secara tuntas,” kata beliau kepada media semasa merasmikan Majlis Pecah Tanah Residensi Wilayah dan Residensi Prihatin MADANI serta Pusat Penjaja MADANI di Desa Tasik Sungai Besi, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Terdahulu, turut hadir Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali; Ketua Pengarah Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP), Datuk Seri Rosida Jaafar dan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Sr Kamarulzaman Mat Salleh.
Dalam perkembangan lain, DBKL memaklumkan sebanyak 1,010 unit rumah mampu milik ditawarkan kepada kumpulan sasar iaitu golongan M40 dan ke bawah yang belum memiliki kediaman di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
DBKL berkata rumah menerusi inisiatif Residensi Wilayah dan Residensi Prihatin MADANI itu dibina di Desa Tasik Sungai Besi, Kuala Lumpur dengan keluasan tapak 3.4 ekar.
“Residensi Wilayah melibatkan pembangunan 910 unit rumah dengan keluasan 902 kaki persegi dan 908 persegi dengan harga jualan RM300,000 seunit manakala Residensi Prihatin MADANI pula membabitkan pembangunan 100 unit berkeluasan 902 kaki persegi dengan harga jualan RM200,000 seunit,” jelas beliau.
Menurut DBKL, Residensi Wilayah merupakan rumah mampu milik di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang ditawarkan kepada golongan berumur 21 tahun ke atas dengan pendapatan kasar bulanan di bawah RM10,000 bagi kategori bujang dan RM15,000 bagi mereka yang sudah berkahwin (dilahirkan atau menetap) di Kuala Lumpur.
“Residensi Prihatin MADANI pula merupakan salah satu inisiatif yang akan dijayakan di bawah gagasan Malaysia MADANI untuk menyediakan perumahan mampu milik kepada golongan M40 dan B40. Pemohon yang lahir, menetap atau bekerja di Kuala Lumpur dan belum memiliki kediaman adalah menjadi keutamaan,” katanya.
Tambah DBKL, Pusat Penjaja MADANI juga bakal dibina bersebelahan Kompleks Sukan Desa Tasik dengan keluasan tanah 0.4 ekar dengan konsep yang berbeza dari pusat-pusat penjaja lain di mana ia mengandungi 15 unit gerai dengan keluasan 168 kaki persegi selain dilengkapi dengan kemudahan tempat letak kereta, surau dan ruang makan yang luas. – WILAYAHKU