Berita

Perbaharui lesen premis 2025

SUKURUN (tengah) ketika mempromosikan kempen pembaharuan lesen.
- Diterbit 16 Disember 2024 5:35 PM MYT

PERBADANAN Labuan (PL) menyeru para peniaga untuk memperbaharui lesen premis perniagaan bagi tahun 2025 sehingga hujung Disember ini.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif PL, Mohd Sukuran Taib, seruan itu bertujuan untuk mengelakkan peniaga dikenakan sebarang tindakan.

Katanya, ia bertujuan untuk memastikan dan mengelakkan berlaku kesesakan di Kaunter Setempat Wisma PL pada saat akhir.

“Kita menyeru kepada peniaga yang belum memperbaharui lesen premis perniagaan untuk mengambil tindakan segera sebelum hujung bulan ini untuk mengelakkan kesulitan,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan walkabout promosi pembaharuan lesen premis perniagaan di sekitar bandar Labuan.

Hadir sama Pengarah Jabatan Perlesenan PL, Helmi Bali.

Jelas Sukuran, pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu atau peniaga yang gagal memperbaharui lesen premis perniagaan selepas tempoh tersebut.

“Kepada peniaga yang gagal berbuat demikian, PL akan mengambil tindakan dengan mengenakan kompaun,” katanya.

Sukuran berkata, kepada peniaga yang ingin memperbaharui lesen premis perniagaan hanya perlu membawa salinan lesen premis perniagaan tahun semasa tanpa mengisi sebarang borang.

“Walau bagaimanapun, mereka (peniaga) harus menjelaskan terdahulu kompaun, cukai, kadaran sewa premis bagi premis PL sebelum melakukan pembaharuan lesen premis perniagaan,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas