PERBADANAN Putrajaya (PPj) memeterai perjanjian bersama KRU Studios Sdn Bhd sebagai rakan kerjasama bagi pengoperasian Pusat Penghayatan Alam (NIC) Taman Wetland bertempat di Kompleks Perbadanan Putrajaya, pada Rabu.
Menurut Presiden Perbadanan Putrajaya, Datuk TPr Fadlun Mak Ujud, jalinan kerjasama strategik ini bertujuan menggalakkan pelaburan sektor pelancongan dengan pendekatan teknologi terkini bagi mengadakan pusat pameran interaktif yang lebih kreatif selaras dengan perubahan teknologi semasa.
“Sebagai agensi yang menjalankan fungsi Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Wilayah Persekutuan Putrajaya, adalah menjadi tanggungjawab PPj untuk membangunkan modal insan dan sosioekonomi warga Putrajaya selain dari pembangunan dan penyelenggaraan infrastruktur bertaraf dunia.
“Keutamaan yang diberikan adalah kepada pengisian yang boleh menjana hasil khususnya bagi warga tempatan melalui sektor pelancongan sekali gus menjadikan Putrajaya sebagai destinasi pelancongan negara dan antarabangsa dan bukan hanya tertumpu kepada kunjungan pelawat semata-mata,” katanya pada Majlis Menandatangani Dokumen Perjanjian Perbadanan Putrajaya Bersama KRU Studios Sdn Bhd.
Selain itu, Fadlun berkata pihaknya bersama KRU Studios akan memperluaskan skop kandungan yang disediakan bertemakan pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar dan spesies-spesies hidupan dari era prasejarah sehingga kini dengan penekanan khususnya kepada fungsi dan peranan wetland air tawar sebagai salah satu sumber utama biodiversiti alam di Putrajaya.
“Kepelbagaian tarikan baharu yang bakal dibangunkan merangkumi pameran kreatif dan interaktif berbentuk digital dan fizikal seperti animatronics. Selaras dengan ‘creative-content’ terkini, bangunan NIC (Nature Interpretation Centre) Taman Wetland Putrajaya kini dijenamakan sebagai Wetland Studios Putrajaya.
“Namun, Wetland Studios Putrajaya kini masih ditutup sementara waktu bagi membolehkan kerja-kerja pengubahsuaian, penyelenggaraan dan naik taraf dijalankan. Kerja-kerja ini akan dilaksanakan secara berperingkat dan dijangka siap sepenuhnya pada bulan April 2023,” jelasnya pihak PPj yakin dengan pengalaman, kepakaran serta kemampuan KRU Studios mampu merealisasikan pembangunan ini.
Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif KRU Studios Sdn Bhd, Datuk Norman Abdul Halim berkata peluang yang diberikan oleh PPj bagi pengoperasian NIC Taman Wetland, Putrajaya bagai pucuk dicita, ulam mendatang.
“Wetland Studios Putrajaya bukanlah sekadar taman tema untuk bersuka-ria semata-mata tetapi berkonsepkan ‘edutainment’ yang menonjolkan peranan Taman Wetland Putrajaya serta flora dan faunanya kepada masyarakat setempat.
“Berpacukan teknologi terkini, kami akan menyediakan pelbagai jenis aset dalam bentuk animatronics dan kandungan kreatif dalam bentuk audio dan visual menggunakan kepakaran kami dalam penghasilan kesan khas visual dan animasi.
“Kami yakin Wetland Studios Putajaya akan menjadi tarikan baru bagi menarik pelancong ke Putrajaya sekali gus memberikan pengalaman, hiburan dan maklumat bermanfaat kepada orang ramai tentang tanggungjawab kita sebagai warga dunia untuk menjaga alam sekitar,” tambahnya Zan Orangutan akan dijadikan sebagai maskot Wetland Studios Putrajaya.
Jelasnya, Zan Orangutan merupakan watak utama daripada filem animasi terbitan bersama di antara KRU International, Astro Shaw dan Ray Productions dan Suzhou VSO China Network Technology, Co Ltd yang akan dikeluarkan ke lebih 100 negara pada tahun hadapan.
Turut hadir, Setiausaha PPj, Kamal Azira Hassan; Naib Presiden Landskap PPj, LAr. Abd Aziz Buang; Naib Presiden Kewangan PPj, Suhaila Eleas; Naib Presiden Perkhidmatan Bandar PPj, Nik Shukri Nik Soh; Ahli Lembaga Pengarah KRU Studios Sdn Bhd, Datuk Yusry Abdul Halim dan Naib Presiden Operasi KRU Studios Sdn Bhd, Zarina Abdul Rahman. – WILAYAHKU