Berita

Peraturan wujud persekitaran maya selamat

PERUNDANGAN baharu bagi meningkatkan tahap keselamatan digital akan dibentang di Parlimen Oktober ini. - Gambar hiasan
- Diterbit 2 Ogos 2024 9:10 AM MYT

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa peraturan di media sosial dan perkhidmatan pemesejan Internet yang bakal diperkenalkan bagi mengatasi penyebaran jenayah.

Menurut Anwar, ia sekali gus mewujudkan persekitaran maya yang selamat untuk semua pengguna media sosial di negara.

“Marcapada dan kecanggihan teknologi menuntut mana-mana pihak khususnya warga maya untuk meletakkan ketertiban tinggi.

“Ia juga tanpa menimbulkan sensitiviti hingga menggugat keamanan dan ketenteraman ketika menggunakan mana-mana platform media sosial yang ada,” katanya.

Tambah Anwar, peraturan di media sosial dan perkhidmatan pemesejan internet yang bakal diperkenalkan kerajaan adalah untuk mengatasi penyebaran jenayah dan maklumat berbahaya.

“Kerajaan sedar mungkin ada beberapa sekatan atau peraturan yang tidak popular namun ia perlu demi kesejahteraan masyarakat,” ujarnya.

Dalam pada itu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) mengumumkan bahawa satu kerangka kawal selia baharu akan diperkenal pada 1 Ogos dan mula dikuatkuasakan pada 1 Januari 2025.

Tambah MCMC, ia selaras keputusan Jemaah Menteri bahawa perkhidmatan media sosial dan perkhidmatan internet mesti mematuhi undang-undang Malaysia.

MCMC menegaskan ia demi memerangi peningkatan kes jenayah siber termasuk penipuan dalam talian, buli siber dan jenayah seksual terhadap kanak-kanak.

“Menerusi kerangka baharu ini, semua perkhidmatan media sosial dan perkhidmatan pesanan internet yang mempunyai sekurang-kurangnya lapan juta pengguna berdaftar di Malaysia perlu memohon Lesen Kelas Pemberian Perkhidmatan Aplikasi di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).

“Kegagalan memperoleh lesen selepas tarikh kuat kuasa adalah satu kesalahan, dan tindakan perundangan sewajarnya boleh diambil di bawah Akta 588,” katanya.

MCMC turut menjelaskan sebelum ini, platform-platform tersebut telah dikecualikan daripada keperluan pelesenan berdasarkan Perintah Komunikasi dan Multimedia (Pelesenan) (Pengecualian) 2000.

Terdahulu, media melaporkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata perundangan baharu bagi meningkatkan tahap keselamatan digital merangkumi peruntukan berhubung tatacara dan penguatkuasaan akan dibentang di Parlimen Oktober ini.

Beliau berkata undang-undang itu antara lain bakal meletakkan tanggungjawab kepada penyedia perkhidmatan media sosial dan pesanan Internet untuk memainkan peranan bagi menangani jenayah dalam talian seperti penipuan, buli siber, penyebaran bahan penganiayaan seksual kanak-kanak serta gangguan dan antun seksual. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas