POLIS Perak mengesahkan perarakan kereta berhias berunsur keagamaan di Dataran Menara Condong, Teluk Intan malam tadi diadakan tanpa permit.
Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris, berkata pihaknya menerima aduan daripada seorang lelaki warga tempatan mendakwa tular sebuah video berdurasi satu minit di laman sosial facebook, memuat naik hantaran video perarakan berkenaan.
“Polis sudah memanggil penganjur untuk rakaman keterangan dan akan diminta untuk megemukakan semua peserta warga asing yang disyaki berasal dari China untuk tampil membantu siasat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Azizi, pihaknya menerima aduan pada jam 12.39 tengah malam tadi dan kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 9(1) Akta Perhimpunan Aman 2012 kerana mengadakan perarakan tanpa permit polis dan Sek 3 (1) Akta Lambang Kebangsaan 1949 kerana mempamerkan lambang kebangsaan negara asing di tempat awam.
Perarakan itu membabitkan kehadiran kira-kira 400 penonton. Rakam video tersebut telah merekodkan beberapa anggota perarakan menggibarkan bendera disyaki bendera negara China sewaktu perarakan berlangsung.
Justeru, polis menasihati orang ramai agar tidak terbabit dalam sebarang perhimpuan haram yang boleh menimbulkan kacau ganggu dan mengunggat ketenteraman awam.
Mereka yang melakukan kesalahan itu boleh didenda hingga RM10,000 mengikut Seksyen 9 (5) Akta Perhimpunan Aman 2012, jika sabit kesalahan.
Hari ini, Persatuan Kebudayaan Guan Gong Malaysia memohon maaf atas insiden pengibaran bendera China oleh sekumpulan individu pada malam perarakan Guan Gong Sedunia di Teluk Intan semalam.
Pengerusi persatuan itu, Soon Boon Hua berkata, tindakan mengibarkan bendera negara lain tidak dirancang dalam tentatif sedia ada oleh pihak pengelola. – WILAYAHKU