ACARA perarakan aset kenderaan dan haiwan daripada Kontinjen Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menjadi tarikan utama pada Sambutan Hari Kebangsaan ke-66 di Dataran Putrajaya hari ini.
Sambutan kebangsaan kali ini menyaksikan kontinjen ATM mempamerkan 140 aset kenderaan dan haiwan bagi memeriahkan acara berkenaan dan turut melibatkan kekuatan pegawai dan anggota seramai 2,076 orang.
Mendahului kontinjen perbarisan adalah pancaragam Pusat Kor Armor Diraja terdiri daripada seorang pegawai dan 57 anggota yang dipimpin oleh Leftenan Amirul Shafiq Abd Aziz dan Sarjan Major Pancaragam Pegawai Waran 1, Mad Zain Medol.
Ia disusuli dengan Kontinjen Pasukan Khusus Angkatan Tentera Malaysia yang terdiri daripada 21 Gerup Gerak Khas, Pasukan Khas Laut dan Pasukan Khas Udara daripada 207 orang, kemudian diteruskan dengan perarakan aset daripada Pasukan Khas ATM yang menyaksikan empat buah motosikal Scrambler Berkuasa 250cc iaitu sebuah kenderaan yang digunakan dalam sebarang penugasan Long Range Patrol dan boleh diatur gerakkan dengan cepat serta berkesan ke kawasan musuh.
Perarakan seterusnya ialah Rapid Intervention Vehicle (RIV), kenderaan Vamtac, Command Vehicle, Bot Rigid Inflatable Raiding Craft (RIRC) yang merupakan sebuah kenderaan pasukan khusus serta perbarisan Brass Band gabungan 10 BGD PARA dengan kekuatan 47 anggota di bawah pimpinan Drum Major Pegawai Waran Dua Martino Anak Japar.
Selain itu, suasana turut dimeriahkan dengan perarakan masuk Kontinjen 10 BGD PARA yang membawa Leading Para Battle Group dengan kekuatan 15 pegawai dan 540 anggota yang diketuai oleh Leftenan Kolonel Mohd Farid Abd Hamid selaku Battle Group Comdr Tiger.
Mengikuti di belakang adalah kontinjen 10 Briged Para iaitu enam scrambler kawasaki KLX 250, 2 Supacat 6×6 All Terrain Mobile Platform MK II, empat kenderaan pembawa senjata (KPS) Vamtac yang dilengkapi senjata 40mm AGL dan 12.7 HMG serta enam unit meriam 105mm LG MK 111.
Perarakan ATM ini juga turut menyaksikan perarakan pancaragam Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di bawah pimpinan Leftenan Komander Mohd Shahram Ramli selaku Pengarah Muzik selain perarakan aset TLDM seperti Misil Exocet MM40, Misil Exocet SM39, Torpedo Light Weight A244S dan pelbagai lagi.
Walau bagaimapun, perarakan ini juga turut mendapat sorakan orang ramai sebaik kemasukan perbarisan pancaragam pusat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), perarakan aset TUDM iaitu Trailer Pembawa Peluru Pesawat jenis 2KH – 31A dan 1KH – 29 dan banyak lagi.
Ia diteruskan lagi dengan perarakan masuk pancaragam pusat muzik Tentera Darat Malaysia (TDM) dan aset kontinjen bantuan tempur dan bantuan khidmat yang didahului dengan enam buah motorsikal jenis BMW RT dan dua kereta honda civic yang digunakan oleh Pasukan Kor Polis TDM untuk tugasan penguatkuasaan dan pengiring.
Antara pertunjukan lain yang dibawa pada perarakan kali ini ialah pancaragam brass band 12 Briged, kontinjen persatuan veteran ATM seramai 127 orang, kontinjen veteran New Zealand, Kontinjen Simpanan ATM, kontinjen Misi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu serta pelbagai lagi.
Bukan itu sahaja, sempena sambutan kemerdekaan kali ini, Kontinjen ATM menampilkan persembahan Tim Akrobatik Army Red Warrior TDM dengan penglibatan 42 orang peserta dan penampilan khas 66 buah motorsikal Royal Enfield yang semestinya menarik perhatian pengunjung termasuk penonton di rumah.
Mengakhiri acara perbarisan tersebut, Kontinjen ATM melakukan pertunjukan udara dengan penuh aksi menarik oleh TUDM sebagai tanda memperlihatkan siap siaganya wira negara untuk mempertahakan kedaulatan negara.
Meskipun perarakan dan pertunjukan udara oleh kontinjen ATM berakhir pada tengah hari namun orang ramai kelihatan berpuas hati dan tertarik dengan persembahan-persembahan yang disajikan sempena sambutan Hari Kebangsaan kali ini. – WILAYAHKU