Berita

Peranan MPPWP perlu diperkasa

ZALIHA ketika mempengerusikan MPPWP kali kedua pada Isnin.
- Diterbit 16 Disember 2024 4:00 PM MYT

MAJLIS Perwakilan Penduduk Wilayah Persekutuan Peringkat (MPPWP) perlu laksana aktiviti selari dengan polisi Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) agar manfaat daripada dasar-dasar tersebut benar-benar dirasai oleh rakyat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa berkata, MPPWP adalah penghubung utama antara kerajaan dan komuniti dan peranannya mesti diperkasa sekali gus dapat memberikan perkhidmatan yang berkesan untuk rakyat.

“Memandangkan MPPWP memainkan peranan penting dalam menyampaikan dasar serta polisi kerajaan kepada rakyat, JWP akan terus meneliti ruang-ruang penambahbaikan bagi memastikan keberkesanan peranan ini,” katanya selepas Mesyuarat MPPWP kali kedua pada Isnin.

Beliau berkata pada masa akan datang, pihaknya mahu MPP mengambil peranan yang lebih besar melalui penglibatan langsung dalam program khas seperti Program Usaha Jaya Insan (PUJI).

“Dengan itu, MPP dapat berfungsi sebagai jambatan yang lebih berkesan dalam menyampaikan inisiatif Kerajaan Persekutuan kepada masyarakat setempat.

“JWP dan semua agensi yang terlibat akan terus memberi sokongan penuh untuk memastikan peranan MPP ini diperkasakan demi kesejahteraan Wilayah Persekutuan dan selari dengan aspirasi Malaysia MADANI,” katanya.- WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas