PENYELARASAN semula diesel yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilihat sebagai usaha untuk mengurangkan defisit belanjawan negara setiap tahun.
Penganalisis Ekonomi dari UniKL Business School, Profesor Madya Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata penjimatan dari rasionalisasi pendapatan kerajaan ini dapat digunakan dengan lebih bijak iaitu menumpukan kepada pembangunan ekonomi negara supaya lebih mampan dan berdaya saing.
“Dari segi saiz ekonomi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), Malaysia telah pun turun ke tangga keenam dalam kalangan negara ASEAN berada di belakang Vietnam dan ini menunjukkan Malaysia perlu lonjakan ekonomi yang lebih besar bermula dari dalaman negara dengan penyusunan kewangan dahulu.
“Potensi daripada penjimatan ini sebenarnya boleh digunakan untuk pelaksanaan projek-projek pengembangan ekonomi masa hadapan yang berjangka sederhana dan panjang,” katanya ketika dihubungi pada Rabu.
Beliau berkata penyelerasan subsidi pukal kepada menyasar merupakan inisiatif kerajaan MADANI untuk membuat perubahan besar kepada struktur ekonomi negara.
“Dengan peningkatan jumlah subsidi yang terus meningkat setiap tahun di mana lebih 50 peratus adalah subsidi bahan api, perbelanjaan RM80 bilion ini perlu dihentikan dari terus meningkat kerana ia sudah pun membebankan kewangan negara dan melebarkan defisit belanjawan negara setiap tahun.
“Selain itu, antara perkara yang mendukacitakan kita adalah setiap RM1 pendapatan kerajaan sekarang ini, kira-kira 16 sen dibelanjakan hanya untuk membayar kadar faedah sahaja dan ia tidak termasuk prinsipal hutang RM1.2 trilion,” katanya.
Aimi Zulhazmi turut menyatakan bahawa langkah diambil kerajaan ini bermula di Semenanjung Malaysia terlebih dahulu untuk melihat bagaimana ia dilaksanakan dan sekiranya berjaya, maka ia akan ditingkatkan lagi secara berfasa keseluruh negara dan merangkumi RON95, LPG dan merasionalisasikan subsidi kepada golongan yang betul-betul memerlukan.
“Pelaksanaan atau penstrukturan semula ini akan mengambil masa untuk mencapai keberkesanannya. Kerjasama semua pihak haruslah dipupuk dalam mencapai hasrat memajukan Malaysia.
“Ketirisan yang sebelum ini berlaku hendaklah ditangani dengan penguatkuasaan yang tegas tanpa kompromi. Bukan mudah kerana ia merubah kebiasaan puluhan tahun dan juga memerlukan komitmen mental dan komunikasi yang baik dengan semua golongan masyarakat,” katanya.
Kata Aimi Zulhazmi lagi penjimatan yang diumumkan iaitu RM4 bilion dapat disalurkan semula dalam bentuk bantuan tunai kepada golongan B40 dan M40, malah menerusi Perutusan Negara tersebut, ia menunjukkan komitmen kerajaan untuk melabur sebahagian penjimatan itu dalam melahirkan pekerja mahir, pakar industri bertaraf dunia melalui program pendidikan yang meluas dan besar.
“Lebih ramai pelajar akan dapat menikmati bantuan kos pembelajaran di dalam dan luar negara, yuran, elaun sara hidup yang lebih tinggi, laptop percuma dan sebagainya.
Katanya, dalam melahirkan generasi bijak pandai, kerajaan juga boleh membesarkan lagi peruntukan Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) setiap tahun serta peruntukan untuk membantu mengkomersialkan penciptaan barangan dan perkhidmatan keluaran anak tempatan.
“Tekonologi dan pendaftaran patent, hak milik intelek perlu ditingkatkan dengan belanja yang lebih besar sekiranya mahukan Malaysia menjadi negara maju.
“Negara lain seperti Taiwan dan Korea Selatan yang pernah mundur dahulu kini menjadi negara maju dengan bertunjangkan pembangunan teknologi secara besar-besaran.
“Malaysia tidak hanya boleh mengharapkan pelaburan langsung asing (FDI) sahaja, bahkan perlu mempunyai teras teknologi tempatan yang perlu dilabur dan diberi peluang berkali ganda, ini hanya dapat dicapai sekiranya negara mempunyai peruntukan perbelanjaan yang besar dan berdaya saing,” katanya. – WILAYAHKU