Berita

Penyedia platform perlu fahami hak asasi manusia, peringatan tegas Malaysia

ANWAR (kiri) ketika bertemu Haniyeh dalam misi lawatan rasmi ke Qatar, Doha pada Mei lalu
- Diterbit 9 Ogos 2024 9:20 AM MYT

KERAJAAN Malaysia perlu tegas dan memberi kata dua kepada penyedia platform media sosial agar menghormati prinsip kerajaan Malaysia di dalam menyuarakan isu Palestin.

Pensyarah Kanan Jabatan Sains Politik, Pentadbiran Awam dan Kajian Pembangunan Universiti Malaya (UM), Dr Mohamad Tawfik Yaakub berkata ia susulan platform media sosial sering kali menurunkan hantaran-hantaran kandungan terhadap Palestin.

Katanya, platform-platform media sosial perlu faham dengan hak asasi manusia serta sepatutnya membenarkan orang ramai atau pengguna media sosial untuk terus menyuarakan pandangan mereka terhadap kekejaman rejim zionis.

“Sepatutnya, penyedia-penyedia platform media sosial harus menghormati prinsip-prinsip serta undang-undang yang diguna pakai sesebuah negara.

“Jika kandungan tidak menyalahi undang-undang mengapa perlu menurunkan kandungan tersebut. Apa yang mereka mahu sorokkan atau takutkan.

“Tindakan kerajaan memanggil Meta Platforms Inc (Meta) adalah peringatan tegas dan perlu diambil perhatian serius oleh pihak-pihak penyedia media sosial lain agar terus menghormati prinsip yang diguna pakai negara Malaysia,” katanya.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meluahkan rasa kecewa susulan tindakan Meta yang sekali lagi memadam kandungan di laman sosial Facebook beliau berkenaan ucapan takziah kepada pejuang Palestin, Ismail Haniyeh yang dibunuh.

Malah, Anwar memberi teguran keras kepada Meta supaya tidak menjadi bacul dan menjadi perkakas kepada rejim zalim Zionis Israel.

Lantaran itu, pihak Meta melakukan permohonan maaf susulan penurunan hantaran daripada akaun Facebook dan Instagram, Perdana Menteri, berkaitan pembunuhan pemimpin Hamas Ismail Haniyeh, mendapat liputan meluas media di negara Arab dan berbahasa Arab.

Tambah Mohamad Tawfik, beliau berpandangan pemimpin-pemimpin lain diseru untuk terus menonjol menyuarakan isu Palestin seperti dapat dilihat dalam Himpunan Pembebasan Palestin baru-baru ini selain memberi segala bentuk bantuan yang diperlukan kepada mereka.

“Kita mahu semua pemimpin-pemimpin negara terus bersuara lantang khususnya untuk membantu mencari keadilan buat negara Palestin.

“Selain itu, bagi saya bukan sekadar rawatan yang mereka perlukan tetapi kita bawa warga Palestin untuk menerima pendidikan di malaysia dan wujudkan penempatan khas untuk mereka yang hilang, musnah rumah secara keseluruhannya.

“Dalam erti kata lain, kita menolong mereka untuk membina semula kehidupan mereka di bawah perlindungan negara kita, jauh daripada kekejaman rejim Zionis,” katanya.

Sementara itu, Mohamad Tawfik mencadangkan kerajaan untuk menyediakan satu saluran khas bagi memberi ruang rakyat untuk terus komited bersuara mengenai isu ini.

“Kerajaan boleh sediakan satu saluran khas seperti radio, televisyen atau media sosial untuk berikan ruang sepenuhnya kepada rakyat menyuarakan perjuangan palestin tanpa sekatan.

“Ini adalah kerana, kerajaan mempunyai akses dan pada bila-bila masa boleh sediakan platform berkenaan bagi kita menyuarakan kelantangan di samping membuka mata dunia terhadap isu ini.

“Suara dari Malaysia didengari dengan sangat kuat, malah Perdana Menteri juga sering berkomunikasi dan berjumpa pemimpin-pemimpin Palestin seperti Hamas.

“Sebab itu syarikat penyedia platform cenderung kepada Israel bimbang dengan pengaruh oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim serta rakyat Malaysia,” jelasnya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas