SYARIKAT penyedia platform media sosial yang gagal mendapatkan lesen boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 126 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588), yang telah dipinda melalui Akta Komunikasi dan Multimedia (Pindaan) 2025 (Akta A1743) sekali gus bakal berdepan dengan denda maksimum RM1 juta
Kementerian Komunikasi menegaskan bahawa semua penyedia platform media sosial yang beroperasi di Malaysia diwajibkan untuk mendapatkan lesen Penyedia Perkhidmatan Media Sosial, selaras dengan keperluan peraturan baharu yang dikuatkuasakan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bermula 1 Januari 2025.
“Penalti yang dikenakan terhadap syarikat yang tidak berlesen boleh mencecah denda maksimum RM1 juta atau hukuman penjara sehingga 10 tahun, atau kedua-duanya sekali. Selain itu, denda tambahan sebanyak RM100,000 sehari boleh dikenakan sekiranya kesalahan tersebut berterusan selepas disabitkan kesalahan.
“Kerajaan komited untuk memastikan industri komunikasi dan multimedia dikawal selia dengan baik demi kepentingan rakyat. Oleh itu, MCMC telah melaksanakan keperluan pelesenan bagi penyedia perkhidmatan pesanan internet dan media sosial yang memenuhi kriteria pelesenan,” katanya menerusi jawapan bertulis di Dewan Rakyat ketika menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Langkawi, Datuk Mohd Suhaimi Abdullah (PN-Langkawi) mengenai tindakan yang bakal diambil terhadap pengendali media sosial yang gagal mendapatkan lesen di Malaysia.
Kementerian Komunikasi memberitahu, sehingga 13 Februari 2025, tiga syarikat penyedia media sosial telah memperoleh lesen daripada MCMC, iaitu WeChat International Pte Ltd (WeChat) dan TikTok Pte Ltd (TikTok) pada 1 Januari 2025 serta Telegram Messenger Incorporated (Telegram) pada 2 Januari 2025.
“Bagaimanapun, beberapa platform utama lain seperti Meta (pemilik Facebook dan Instagram), X (dahulu Twitter), dan YouTube masih belum disenaraikan dalam kumpulan yang telah menerima lesen, menimbulkan spekulasi mengenai potensi tindakan undang-undang terhadap syarikat gergasi teknologi tersebut sekiranya mereka gagal mematuhi peraturan baharu ini,” katanya.
Menurut Kementerian Komunikasi, langkah pelesenan ini dilihat sebagai sebahagian daripada usaha kerajaan untuk memastikan kawalan lebih ketat terhadap kandungan digital, termasuk menangani penyebaran maklumat palsu, penyalahgunaan platform dalam aktiviti jenayah siber, serta melindungi keselamatan dan privasi pengguna di Malaysia.
“MCMC akan mempertimbangkan tahap keseriusan pelanggaran, impak serta rekod pematuhan syarikat sebelum mengambil sebarang tindakan terhadap mana-mana penyedia yang gagal mematuhi peraturan,” katanya.-WILAYAHKU