Berita

Penyasaran subsidi RON95: Sedia berdepan sebarang reaksi

PILIHAN lain adalah mengapungkan harga RON95 seperti dilakukan dengan diesel pada bulan Jun lalu.
- Diterbit 28 Oktober 2024 4:34 PM MYT

DI laman sosial, kecoh kononnya kerajaan sengaja mahu menyusahkan hidup rakyat dengan menarik semula subsidi petrol sehinggakan ramai yang menuduh kerajaan zalim.

Memahami kritikan rakyat, kerajaan bagaimanapun bersedia berdepan reaksi awam berhubung komitmennya untuk menarik semula subsidi petrol mulai pertengahan 2025.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata kerajaan sedang mempertimbangkan sistem dua harga supaya 15 peratus golongan maha kaya (T15) dapat membayar kadar pasaran untuk petrol RON95 manakala yang lain mengikuti harga subsidi semasa.

“Kami bersedia menghadapi cabaran yang akan datang walaupun kerajaan telah meluangkan masa untuk mempersiapkan rakyat dan menjelaskan alasan berkenaan reformasi subsidi.

“Ini adalah keputusan yang mempengaruhi kehidupan semua orang,” katanya dalam temu bual dengan televisyen Bloomberg baru-baru ini.

Dalam pada itu, Rafizi berharap, tanggungjawab kerajaan adalah untuk memastikan dapat mengurus perkara tersebut dengan baik.

“Ini adalah kebimbangan terbesar kerajaan walaupun hanya sebahagian kecil daripada populasi akan terdedah dengan harga RON95 yang lebih tinggi.

“Adalah menjadi kelaziman ekonomi Malaysia jika berlaku kenaikan harga bahan api, kita akan melihat segalanya turut meningkat.

“Simulasinya adalah jika ada kenaikan harga, kami perlu melalui sekurang-kurangnya kitaran 12 bulan sebelum inflasi stabil semula kepada sekitar dua peratus,” jelasnya.

Kerajaan menjangkakan kadar inflasi akan purata dalam lingkungan dua hingga 3.5 peratus tahun hadapan berbanding 1.5 hingga 2.5 peratus pada 2024.

Tambahnya pilihan lain adalah untuk mengapungkan harga RON95 seperti dilakukan dengan diesel pada Jun lalu dan memberikan bantuan tunai kepada mereka yang memerlukan untuk mengurangkan impak kos lebih tinggi.

“Tetapi bantuan sedemikian mungkin tidak sampai kepada semua orang memandangkan hanya 60 peratus tenaga kerja di Malaysia berada dalam sektor formal,” ujarnya.

Walau bagaimanapun fokus kerajaan adalah pada reformasi subsidi dan mengoptimumkan perbelanjaan sebelum dapat mempertimbangkan membawa kembali cukai penggunaan. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas