BIARPUN bukan pendekatan popular dalam kalangan rakyat, hasrat Kerajaan MADANI di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melaksanakan penyasaran subsidi RON95 pada pertengahan 2025 mampu meningkatkan keadilan sosial.
Demikian ditegaskan Profesor Madya Dr Suryati Ishak dari Sekolah Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Putra Malaysia (UPM).
Beliau melihat subsidi diberikan secara menyeluruh sering kali memberi lebih manfaat kepada golongan berpendapatan tinggi yang menggunakan lebih banyak bahan bakar.
Untuk itu katanya, dengan menyasarkan subsidi kepada golongan berpendapatan rendah dan sederhana, kerajaan dapat memastikan bantuan sampai kepada mereka yang benar-benar memerlukan sekali gus mengurangkan jurang ketidaksamaan pendapatan.
“Malah menerusi inisiatif Budi MADANI, kerajaan kini komited untuk mengekang aktiviti penyeludupan dan ketirisan subsidi rakyat.
“Seperti di bawah MySubsidi Diesel, Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) merupakan satu platform khusus untuk kenderaan awam dan pengangkutan barangan terpilih terus mendapatkan subsidi diesel melalui kaedah fleet card,” ujar beliau kepada Wilayahku.
Beliau berkata kerajaan mengambil langkah untuk memastikan subsidi ini lebih terarah kepada golongan yang benar-benar memerlukan.
Katanya ia juga memastikan golongan warga asing dan peratusan daripada kumpulan pendapatan T15 dalam negara tidak menyalahgunakan tujuan utama pemberian subsidi RON95, kerajaan juga menyasarkan kepada penjimatan sehingga RM8 bilion setahun.
“Selain itu tujuan utama penyelarasan subsidi RON95 adalah membantu pengurangan beban fiskal kerajaan. Harga terkini RON95 di Malaysia adalah RM2.05 dan pada 2023, kerajaan menanggung jumlah subsidi mencecah RM20 bilion.
“Dengan menyelaraskan subsidi, beban tanggungan dapat dikurangkan dan diberikan kepada golongan yang layak sekali gus kerajaan dapat menumpukan kepada perbelanjaan yang lebih penting.
“Dana yang dijimatkan ini boleh digunakan untuk memperkukuhkan sektor-sektor penting seperti pendidikan, kesihatan dan pembangunan infrastruktur yang secara langsung memberi manfaat kepada rakyat secara keseluruhan,” kata beliau.
Beliau memberitahu dengan subsidi yang lebih terarah, rakyat Malaysia akan lebih berhati-hati dalam penggunaan bahan bakar selain dapat mengurangkan pembaziran dan menggalakkan penggunaan bahan bakar secara lebih efisien.
Katanya, pengurangan dalam penggunaan bahan bakar dilihat dapat membantu mengurangkan pencemaran udara dan mempromosikan kelestarian alam sekitar.
“Komitmen negara untuk menggalakkan pembangunan yang mampan dan lestari boleh dilihat melalui kewujudan Dasar Alam Sekitar Negara. Antara tujuannya adalah untuk memastikan generasi masa kini dan masa hadapan memiliki alam sekitar yang bersih, selamat, sihat dan produktif.
“Insentif ekonomi seperti pengenaan cukai dan penyasaran subsidi adalah antara instrumen berkesan untuk memelihara dan mematuhi dasar alam sekitar,” katanya.
Menurut Suryati, penyelarasan RON95 juga dapat meningkatkan daya saing ekonomi negara iaitu dengan mengurangkan kebergantungan kepada subsidi, rakyat dan perniagaan akan lebih terdorong untuk mencari cara-cara inovatif dan lebih efisien dalam penggunaan bahan bakar.
Katanya, ini boleh mendorong perkembangan teknologi hijau dan alternatif yang lebih lestari dalam mencari alternatif sumber bahan bakar fosil.
“Di samping itu, penyelarasan subsidi RON95 juga seiring dengan usaha kerajaan untuk mentransformasikan ekonomi negara ke arah yang lebih mampan dan berdaya saing. Dengan mengalihkan dana subsidi kepada program-program pembangunan yang lain, kerajaan dapat mempercepatkan usaha ke arah ekonomi digital dan berteknologi tinggi yang akan membuka lebih banyak peluang pekerjaan dan meningkatkan taraf hidup rakyat,” katanya. – WILAYAHKU