Berita

Penyasaran subsidi diesel, langkah berani selamat negara

KOS subsidi diesel meningkat mendadak hampir 10 kali ganda daripada RM1.4 bilion pada tahun 2019 kepada RM14 bilion pada tahun 2023
- Diterbit 14 Jun 2024 9:20 AM MYT

MATLAMAT utama kerajaan dalam menyasarkan subsidi diesel bagi  memastikan kemampanan ekonomi negara dengan mengurangkan ketirisan serta impak kepada kos sara hidup rakyat.

Jurucakap Kementerian Kewangan berkata kerajaan berhasrat memastikan penggunaan diesel bersubsidi hanya kepada sektor yang wajar­ dibantu seperti sektor pengangkutan darat awam dan sektor logistik pengangkutan darat barangan.

Menurutnya, kos subsidi diesel meningkat mendadak hampir 10 kali ganda iaitu daripada RM1.4 bilion pada tahun 2019 kepada RM14 bilion pada tahun 2023.

“Peningkatan kos ini bukan sahaja dipengaruhi oleh harga pasaran tanpa subsidi (2019: RM2.12 seliter; 2023: RM3.41 seliter) tetapi juga jumlah penggunaan yang meningkat melebihi 70 peratus (2019: 6.1 bilion liter) (2023: 10.8 bilion liter) walaupun tiada peningkatan bilangan kenderaan diesel yang ketara.

“Malah kerajaan juga perlu menampung kos subsidi yang besar iaitu lebih satu pertiga daripada harga pasaran dan tanggungan subsidi ini telah melebihi kemampuan hasil kerajaan,” katanya.

Tambahnya, perbelanjaan subsidi yang semakin besar boleh mencetus risiko kepada kewangan negara dan menyebabkan peruntukan untuk perbelanjaan yang lebih penting terpaksa dikurangkan termasuklah keperluan kesihatan, pendidikan dan keselamatan.

Jelasnya, fokus utama kerajaan adalah untuk menangani ketirisan dan penyelewengan subsidi diesel.

“Subsidi pukal sedia ada banyak memanfaatkan bukan warganegara serta sektor komersial. Penyasaran subsidi diesel memastikan perbelanjaan kerajaan lebih bersasar kepada memanfaatkan rakyat dan ke arah pembangunan negara.

“Menerusi penyasaran subsidi, ketirisan di stesen minyak ditangani melalui harga runcit yang selaras dengan harga pasaran (tiada insentif untuk penyeludupan ke sektor industri).

“Tambahan, bagi mereka yang masih dapat membeli diesel pada harga RM2.15 melalui kaedah fleet card, risiko ketirisan dikurangkan kerana kerajaan dapat memantau penggunaan diesel bagi syarikat dan kenderaan berkenaan untuk tujuan penguatkuasaan,” katanya.

Mengulas lanjut, katanya pelaksanaan penyasaran subsidi diesel dilaksanakan sekarang kerana keadaan bertambah mendesak dengan peningkatan subsidi melonjak dari RM1.4 bilion tahun 2019 kepada RM14 bilion tahun 2023 yang melibatkan peningkatan mendadak jumlah diesel bersubsidi dan tidak akan dapat ditampung dengan berterusan.

“Mekanisme pelaksanaan penyasaran semula subsidi memerlukan kajian yang teliti supaya tidak meningkatkan kos kepada industri sedia ada serta menitikberatkan aspek pelaksanaan dan komunikasi yang berkesan kepada pihak industri agar tidak berlaku kejutan kepada ekonomi.

“Pelaksanaan juga perlu bersesuaian dan boleh dilaksanakan di samping mengekalkan fokus kerajaan dalam memastikan kos sara hidup rakyat tidak terjejas.

“Penyasaran subsidi diesel ini juga ialah langkah bertanggungjawab kerajaan dalam menyelamatkan ekonomi negara,” ujarnya.

Sementara itu, jelasnya, kerajaan melalui Kementerian Kewangan telah menentukan harga runcit diesel dengan mengambil kira harga pasaran yang berdasarkan formula Automatic Pricing Mechanism (APM).

Menurutnya, kerajaan akan mengekalkan mekanisme semakan harga setiap minggu, namun dalam penetapan harga mingguan, kerajaan akan memastikan harga yang ditetapkan tidak akan menyebabkan kesan turun naik harga pam yang berlebihan.

“Kerajaan telah memperluas liputan penyasaran subsidi diesel kepada beberapa jenis kenderaan lain di bawah program BUDI MADANI yang merangkumi MySubsidi Diesel melalui peluasan Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi 2.0 (SKDS 2.0), BUDI Individu dan BUDI Agri-Komoditi.

“Penyasaran subsidi dilaksanakan terlebih dahulu di Semenanjung kerana di Sabah dan Sarawak, kenderaan yang menggunakan bahan bakar diesel merupakan kenderaan utama harian bagi rakyat serta cabaran kebolehlaksanaan mekanisme fleet card untuk kawasan pedalaman. Oleh itu, pelaksanaan di Sabah dan Sarawak memerlukan kajian yang lebih lanjut,” ujarnya.

Dalam pada itu, katanya, sebahagian daripada penjimatan akan dipulangkan kepada rakyat yang memerlukan manakala sebahagian lagi akan digunakan untuk pembangunan sosioekonomi dan pengurusan fiskal negara.

“Tumpuan utama kerajaan adalah untuk memperkasakan rakyat melalui beberapa pendekatan holistik yang merangkumi pembaharuan tatakelola dan ketahanan fiskal supaya kekal mampan serta mengukuhkan kedudukan kewangan negara.

“Selain itu, menaikkan siling melalui penstrukturan semula ekonomi agar terus berkembang dan memakmurkan negara dan menaikkan lantai dengan berkongsi kekayaan negara untuk dimanfaatkan secara inklusif.

“Kerajaan bertanggungjawab membangunkan negara untuk kepentingan dan kesejahteraan seluruh rakyat dengan memberi keutamaan dalam sektor kesihatan, pendidikan, pertahanan dan lain-lain melalui kutipan hasil,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas