PENYANYI lagu irama Melayu asli, Aspalela Abdullah, 79, meninggal dunia kira-kira jam 10 pagi tadi akibat komplikasi pelbagai penyakit.
Jenazah kini berada di Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan dijangka akan dibawa ke Masjid Salahuddin Al Ayubi Taman Melawati untuk proses pengurusan jenazah.
Aspalela merupakan juara Bintang Radio 1968 dan cukup terkenal pada era 60-an.
Antara lagu-lagu allahyarham yang terkenal ialah Payung Mahkota dan Titian Kasih Ke Syurga itu.
Album Joget Cari Makan diterbitkan Omar Taib pada 1991 dianggap album cari makan. Ini kerana lagu-lagu yang dimuatkan dalam album itu sering dinyanyikan dalam setiap undangan persembahan.
Sepanjang bergelar penyanyi, Allahyarham pernah merakamkan lima buah abum.
Allahyarham Aspalela menikahi bintang filem terkenal, Raja Ismail Raja Saat dan melalui pernikahan itu, mereka dikurniakan tiga cahaya mata.
Jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Raudhatul Sakinah, Kuala Lumpur selepas Asar. – WILAYAHKU