PENGANJUR Konsert Malam Sutera Aisha Retno, Kharisma Music kesal dengan kenyataan dibuat penyanyi itu di instagram yang mendakwa tidak mengetahui mengenai pembatalan konsertnya.
Konsert sulung Aisha Retno sepatutnya berlangsung pada 16 November lalu di Zepp Kuala Lumpur tetapi penganjur membuat pengumuman pembatalan pada 9 November berikutan tiada sambutan.
Difahamkan hanya 98 tiket saja terjual, 100 tiket lagi diperuntukkan untuk media daripada 2414 tiket ditawarkan.
Dakwaan penyanyi itu yang tidak dimaklumkan mengenai perkembangan penjualan tiket adalah tidak benar.
Peguam mewakili Kharisma Music, Tuan Muhammad Arief Tuan Mohamad Yusof dari Arief & Iskandar, berkata pada September lalu, Karisma Music dan Aisha Retno Entertaient (ARE) ada mengaturkan beberapa pertemuan bagi membincangkan mengenai hala tuju konsert.
“Berkenaan isu Aisha Retno tidak mengetahui berkenaan pembatalan, saya rasa itu tidak tepat kerana terdapat beberapa perbincangan antara pihak-pihak, disusuli cadangan serta surat.
“Kedua-dua belah pihak pada mulanya merancang untuk menunda konsert itu ke 2025, tetapi tidak mendapat kata sepakat membabitkan pemilihan tarikh dan akhirnya penganjur buat keputusan untuk membatalkan saja konset.
“Pihak ARE ada mengemukakan cadangan meneruskan konsert tanpa Kharisma Music tetapi beberapa cadanganya tidak dipersetujui penganjur, jadi kami pilih batalkan saja konsert.
“Kami tidak tahu apa alasan kukuh untuk mereka teruskan konsert pada 16 November dengan jualan tiket yang sangat rendah itu,” kata Tuan Muhamma Arief.
Sementara itu, penganjur Yuka Kharisma menuntut Aisha membayar semula baki wang dipinjamkan pihaknya yang bernilai RM77,000.
Katanya, Aisha Retno Entertainment (ARE) meminta bantuan mereka kerana kesukaran mencari dana untuk persembahannya di Anugerah Juara Lagu (AJL) 38, Mac lalu.
“Dana itu adalah wang pendahuluan yang perlu dibayar semula, setakat ini dia baru membayar RM 6,000 daripada RM 83,00O yang kami pinjamkan.Kami hanya taja perkhidmatan sebagai pengarah persembahan malam itu.
“Pihak ARE cuba memberi alasan wang pendahuluan itu adalah penajaan tapi kami mengingatkan kembali wang itu adalah pinjaman dan wajib dibayar semula melalui sebuah konsert solo Aisha Retno,”kata Yuka.
Menurut Yuka, dia tidak bercadang untuk menuntut kerugian lain, sebaliknya hanya memintaAisha melangsaikan hutangnya.
“Tak ada tuntutan untuk kerugian lain seperti lokasi acara, iklan dan sebagainya.
“Kerugian daripada penaja yang menarik diri juga kami takkan tuntut. Secara keseluruhan kerugian yang kami tanggung mencecah lebih kurang RM150,000. Itu belum termasuk masa dan tenaga yang kami sumbangkan,” katanya.
Terdahulu, Kharisma Music membuat pengumuman pembatalan konsert itu di Instagram pada 9 November serta memulakan proses pemulangan semula duit penjualan tiket kepada pembeli yang sudah membuat pembayaran.
Aisha seterusnya memuat naik video berkongsi rasa kecewa atas pembatalan konsert itu di akaun media sosialnya. – WILAYAHKU