Berita

Penyaluran tenaga elektrik hijau pertama bermula hari ini

- Diterbit 13 Disember 2024 6:00 PM MYT

SATU detik bersejarah berjaya dilakar menerusi penyaluran tenaga elektrik hijau pertama dengan kapasiti 50MW dari Malaysia ke Singapura yang telah bermula hari ini.

Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) dalam kenyataannya berkata penyaluran itu adalah lanjutan daripada pemeteraian perjanjian Perjanjian Bekalan Tenaga Boleh Baharu (RESA) antara Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Sembcorp Power Pte Ltd (Sembcorp Power) pada 9 Disember 2024 lalu.

“Pembekalan elektrik hijau merentas sempadan dari Malaysia ke Singapura yang ini adalah hasil daripada pelaksanaan bidaan menerusi Energy Exchange Malaysia (ENEGEM) pada bulan Jun 2024.

“Bidaan menerusi ENEGEM adalah sebahagian daripada inisiatif PETRA di bawah Skim Perdagangan Elektrik Merentas Sempadan untuk Tenaga Boleh Baharu atau Cross-Border Electricity Sales for Renewable Energy Scheme (CBES RE),” katanya.

Tambahnya TNB selaku syarikat utiliti nasional bertanggungjawab menyalurkan bekalan elektrik hijau dari sistem bekalan elektrik negara ke sistem bekalan elektrik Singapura melalui Syarikat Sembcorp Power yang merupakan pemegang lesen import bekalan elektrik di negara tersebut.

“Penyaluran tenaga elektrik ini dilakukan menerusi rangkaian sambung tara sedia ada di antara kedua-dua negara.

“PETRA yakin pelaksanaan inisiatif pembekalan elektrik hijau merentas sempadan ini akan menyokong aspirasi peralihan tenaga negara serta menyumbang kepada komitmen Malaysia dalam menerajui inisiatif integrasi bekalan elektrik serantau melalui pelaksanaan Grid Kuasa ASEAN atau ASEAN Power Grid, yang merupakan salah satu agenda utama negara untuk kepengerusian ASEAN – Malaysia pada tahun 2025,” katanya.

Terdahulu, Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Akmal Nasrullah Mohd Nasir bersama pengurusan tertinggi PETRA, Suruhanjaya Tenaga dan TNB hadir bagi menyaksikan detik bersejarah berkenaan iaitu perdagangan tenaga elektrik hijau merentas sempadan di antara Malaysia dengan Singapura di Pusat Kawalan Muatan Kuasa Nasional di Ibu Pejabat TNB Bangsar, di sini. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas