Artikel

Penyair Nusantara bertemu di Kuala Lumpur

Dr Saleeh Rahamad
- Diterbit 13 Oktober 2023 12:05 PM MYT

SASTERA dan kesusasteraan adalah mengenai manusia dan peradaban. Biarlah sesetengah pihak yang perfikiran jumud yang menganggap sastera hanya untuk khalayak sastera. Atau lebih malang lagi sastera penuh dengan khayalnya dan tidak berpijak di alam nyata.

Bagaimanapun kita mahu pembuat dan pelaksana dasar memahami bahawa sastera juga berperanan seperti politik untuk membawa kesejahteraan dalam kehidupan masyarakat. Bagaimanapun politik yang dalamnya ada berbagai-bagai habuan terutama kuasa menjadikan matlamat untuk kesejahteraan tinggal secebis sahaja daripada tujuan asalnya.

Memang tidak benar sama sekali tanggapan bahawa sastera hanya untuk sasterawan, orang sastera atau peminat sastera. Hal itu boleh dianggap pandangan yang tidak merdeka. Bagaimanapun pemikiran yang seperti dan datang daripada entah siapa-siapa, tidak perlu dilayan dengan berlebihan.

Birokrat dan penggiat sastera mempunyai tugas lain yang lebih mendesak. Malah tidak semua perkara perlu dilayan atau diberikan reaksi, sesetengah daripadanya elok dibiarkan luput dalam garis masa sahaja. Pembangunan sastera dan kesusasteraan terutama sastera Melayu perlu merentas hal-hal yang cetek dan remah itu.

Bermula hari ini (Jumaat 13 Oktober) hingga 15 Oktober, Kuala Lumpur menjadi tuan rumah pertemuan sasterawan dari seluruh Nusantara. Program yang berlangsung tiga hari itu pada satu sudut lain boleh dilihat membantu meletakkan Kuala Lumpur sebagai kota yang mesra seni dan sastera serta tidak lupa pada agenda pembangunan peradaban.

PPN 12 ini menambah satu lagi acara kesusasteraan yang bertaraf antarabangsa di Kuala Lumpur. Sudah banyak kali acara yang mempertemukan seniman dan sasterawan di rantau sebelah sini malah yang disertai oleh negara seperti Amerika Syarikat (AS), Eropah dan Asia Barat. Semua itu memperkukuh keberadaan Kuala Lumpur sebagai kota yang mengungkapkan pemikiran dan jiwa melalui kesusasteraan.

Pertemuan Penyair Nusantara XII (PPN 12) yang diadakan di Hotel Campbell Kuala Lumpur harus diraikan oleh semua, terutamanya sasterawan dan peminat sastera. Ini kerana program itu menyumbang mengimbangkan antara kepesatan prasarana, bangunan yang mencakar awan serta teknologi dengan hal-hal yang mempunyai hubungan dengan manusia.

Pertemuan Penyair Nusantara XII (PPN 12)

Kemajuan atau kemodenan tidak dimusuhi, bagaimanapun perlu diimbangi dengan keperluan-keperluan manusia yang menjadi warganya. Nilai-nilai yang bersifat manusia itu tidak harus terpinggir dalam kepesatan fizikal di sesebuah kota. Di situlah kedudukannya program seperti PPN 12 yang meletakkan sastera dalam pembangunan rakyatnya.

PPN 12 dianjurkan oleh Persatuan Penulis Nasional (PENA) dengan kerjasama Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya (MOTAC) dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Turut mendapat sokongan pihak korporat, Shapadu Group. Hotel Campbell yang menjadi tempat berlangsungnya pertemuan penyair ini adalah milik Shapadu Group.

Disertai oleh 210 peserta sebahagian besarnya penyair besar dari Malaysia, Indonesia, Thailand, Singapura dan Brunei. Dari Indonesia penyertaan datang dari beberapa wilayah dan kota yang dianggap telah mewakili Indonesia secara seluruhnya. Beberapa nama besar dari Nusantara bertemu dan merangka garis depan yang jelas mengenai peranan kesusasteraan dalam cabaran baharu masa kini.

Hala tuju pertemuan penyair Nusantara ini juga dibawa membincangkan hal-hal yang bersifat rentas wilayah. Tidak melihat permasalahan dan kemajuan secara berpecah-pecah mengikut negara masing-masing. Sebaliknya melihat daripada ruang litup yang luas dan merentas Nusantara.

Malah program ini realistik dengan perubahan dalam bidang teknologi digital yang secara langsung perlu didepani oleh masyarakat sasterawan di Nusantara. Misalnya penghakisan nilai jati diri yang terkesan oleh teknologi terutama komunikasi menjadi hal yang mesti dihadapi secara bersama dan bijak.

Masyarakat di kota besar seperti Kuala Lumpur misalnya tidak terkecuali daripada rempuhan digital yang membawa kemudahan komunikasi selain menjadikan ‘planet’ ini begitu kecil. Ini sebahagian daripada matlamat globalisasi untuk memadamkan garis budaya antara wilayah dan negara. Semuanya di atas ‘planet’ ini dihimpun menjadi satu kampung global yang besar.

Itulah yang dirancang dan dilaksanakan oleh kuasa besar. Kekuatan dan kesepaduan dalam bidang-bidang seperti kesusasteraan antara yang menjadi penampan – atau setidak-tidaknya memperlahankan rempuhan itu. Persoalan yang sedemikian adalah antara yang menjadi tumpuan dalam pertemuan penyair Nusantara ini.

Presiden PENA, Dr Saleeh Rahamad berkata skop perbincangan dalam program ini mengambil kira perkembangan semasa dan kemungkinan-kemungkinan pada masa depan. Terutama sekali yang berkaitan dengan situasi politik, kemajuan teknologi yang memberikan kesan secara langsung atau tidak langsung kepada masyarakat.

“Puisi khususnya dan sastera amnya perlu diletakkan dalam ruang awam dan bertanggungjawab membahaskan hal-hal yang berkaitan kehidupan masyarakat, ia tidak wajar terkepung dalam gelanggang seni semata-mata,’’ kata Dr Saleeh dipetik sebagai berkata kepada portal Kayang Post.

Beliau menambah, pemencilan sastera daripada ruang awam boleh menyebabkan masyarakat meminggir atau menjauhkan diri daripada sastera. Masyarakat menganggap itu suatu yang sia-sia kerana jauh daripada keperluan hidup mereka. Sedangkan hakikatnya sastera saling bertimbal balik dengan masyarakat.

Mengenai PPN X11 yang bersifat serantau dan merentas garis geopolitik dan diplomatik, Dr Saleeh menegaskan bahawa, konsep kewilayahan yang melangkaui sempadan geopolitik perlu diberi perhatian dalam kalangan sasterawan. Ini bertujuan mengangkat martabat sastera dan sekali gus menarik perhatian pemegang punca kuasa.

“Kami di PENA berharap para pembicara yang diundang dapat menterjemahkan hasrat ini berdasarkan tema perbincangan yang diberikan kepada mereka. Hal itu penting sebagai landasan untuk mereka berfikir sebagai satu entiti penting dalam pembinaan wilayah Nusantara yang pekat persaudaraannya,” jelas Dr Saleeh lagi.

Sasaran perhimpunan kepada dua golongan, pertama kepada golongan sasterawan supaya dapat berperanan pembentuk fikiran kolektif, membina masyarakat dan seterusnya negara.

Pertemuan ini juga menyasarkan golongan di luar dunia sastera antaranya pemegang punca kuasa supaya memiliki iltizam politik untuk mengangkat kepentingan sastera dalam pembinaan peradaban bangsa. Hal itu kerana sastera sewajarnya menjadi teras dalam politik, ekonomi, pendidikan dan setiap sudut kehidupan.

Antara penyair yang mengambil bahagian dalam pembentangan kertas kerja adalah Zefri Arif (Brunei), Isbedy Stiawan (Indonesia), Dr Shamsuddin Othman (Malaysia), Roslan Madun (Malaysia), SM Zakir (Malaysia), A Razak Panamalae (Thailand), Saifullizan Yahaya (Malaysia), Dr Morsidi Haji Muhammad (Brunei), Dr Norhayati Ad Rahman (Malaysia), Hartinah Ahmad (Singapura), Ratna Ayu Budhiarti (Indonesia) dan Mahroso Doloh (Thailand).

PPN X11 dirasmikan malam ini oleh Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir di Dewan Sivik Petaling Jaya. Kemudian diteruskan dengan acara Baca Puisi Nusantara 1. Acara Baca Puisi Nusantara 11 diadakan di DBP pada malam esok (14 Oktober) pukul 8.30 malam.

Ucaptama bertajuk Peranan Puisi Dalam Pergolakan disampaikan oleh Sasterawan Negara, Datuk Dr Anwar Ridhwan dan sasterawan Maman S Mahayana dari Indonesia. Ketua Pengarah DBP, Dr Hazami Jahari menyampaikan syaraham umum, Ruang Hidup Puisi Nusantara.

Isu-isu yang dibangkit dan dibincangkan dalam pertemuan kali ini diharap menjadi perkara penting dan mendasar dalam pemikiran segenap sasterawan di Nusantara. Kebersatuan sasterawan di Nusantara perlu dizahirkan dengan kedudukan sastera yang tinggi dan penting di negara masing-masing. – KU SEMAN KU HUSSAIN, Wartawan Bebas

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas