DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah melaksanakan penutupan penuh jalan dari Bulatan Dato Onn menghala ke Cheras (Jalan Kinabalu) dan sebaliknya.
Menurut perkongsian DBKL di laman rasmi Facebook miliknya, penutupan tersebut melibatkan tiga jalan utama.
“Penutupan jalan dari arah Jalan Kuching menghala ke atas Bulatan Dato Onn. Kenderaan dari jalan Kuching dilencongkan ke Bulatan Dato Onn terus ke Jalan Raja Laut.
“Penutupan dari arah Bulatan Dato Onn menghala ke Jalan Kinabalu di mana kenderaan dari arah Tun Perak dilencongkan terus ke Jalan Kuching Bulatan Segambut dan Jalan Parlimen.
“Akhir sekali, Jalan Kinabalu susur Masjid Negara ditutup dan semua kenderaan dilencongkan ke Dataran Merdeka,” katanya.
DBKL berkata penutupan jalan tersebut adalah akibat daripada jalan berlubang dan kerja baik pulih sedang dilakukan oleh pihaknya.
“Kerja-kerja baik pulih sedang dijalankan dan dijangkakan mengambil masa selama tiga hari. Segala kesulitan amat dikesali,” tulisnya di Facebook.
Pihaknya turut menasihatkan agar pengguna jalan raya merancang perjalanan bagi mengelakkan terperangkap dalam kesesakan lalu lintas selama penutupan jalan ini dilakukan. – WILAYAHKU