Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Berita

Penurunan harga telur beri kelegaan kepada pengguna

PENURUNAN harga memberi kemudahan kepada golongan peniaga dan pengguna.
- Diterbit 21 Jun 2024 9:10 AM MYT

PENURUNAN harga telur bagi gred A, B dan C sebanyak 3 sen di pasaran membawa kelegaan kepada golongan peniaga serta pengguna di seluruh negara.

Timbalan Presiden Pertubuhan Mesra Pengguna Malaysia, Azlin Othman berkata kerajaan dilihat proaktif memastikan harga-harga barang kawalan tiada pencatutan.

Menurut Azlin, langkah penurunan harga juga mampu memberi kemudahan atau kesenangan kepada golongan peniaga dan pengguna apatah lagi di kala sambutan Hari Raya Aidiladha baru-baru ini.

“Penurunan harga sememangnya memberi kesan kepada semua pihak khususnya kepada peniaga-peniaga kecil termasuk golongan pengguna.

“Rata-rata peniaga menyifatkan harga baharu telur dapat membantu mengurangkan kos perniagaan mereka,” katanya ketika dihubungi.

Sehubungan dengan itu, jelas Azlin, inisiatif daripada kerajaan itu juga dapat memberi keuntungan kepada para peniaga.

“Apabila kerajaan mengurangkan harga kos barang mentah, ia sekali gus dapat memberikan keuntungan kepada para peniaga.

“Malah ia juga dapat mengurangkan masalah kewangan kepada golongan-golongan berpendapatan rendah khususnya kepada pembeli dalam kuantiti yang banyak,” ujarnya.

Azlin turut menyatakan pada masa kini bekalan telur yang terdapat di pasaran masih lagi stabil.

“Jika dilihat tiada isu telur sejak kebelakangan ini, apa yang boleh dikatakan bekalan telur di pasaran mencukupi dan stabil.

“Ini merupakan satu petanda aras yang positif demi menjaga hak pengguna di seluruh negara.

“Kita juga dapat lihat baru-baru ini khususnya semasa perayaan tiada pembelian panik ketika kerajaan mengumumkan penurunan harga telur di pasaran,” katanya.

Dalam pada itu, Azlin memberitahu dia berharap kerajaan dapat melakukan perkara yang sama terhadap barangan kawalan lain di samping melakukan penguatkuasaan bagi mengelakkan daripada pencatutan harga daripada pihak tidak bertanggungjawab.

“Saya harap pihak kerajaan juga boleh fokus kepada barangan kawalan lain bagi mengelakkan pembaziran subsidi terutamanya kepada barangan asas.

“Kerajaan juga perlu memastikan harga barang terkawal dengan mengadakan penguatkuasaan serta memantau agar tiada pihak yang mengambil kesempatan dengan menaikkan harga barang sewenang-wenangnya,” katanya.

Baru-baru ini media melaporkan, kerajaan memutuskan harga runcit telur ayam gred A, B dan C di seluruh negara diturunkan 3 sen sebiji selaras usaha mengembalikan hasil penjimatan penyasaran subsidi kepada rakyat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kini harga runcit bagi telur ayam gred A, B dan C masing-masing turun kepada 42 sen, 40 sen dan 38 sen sebiji.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas