SERAMAI 12 penuntut institut pengajian tinggi awam (IPTA) ditawarkan Biasiswa Insentif Khas Pelajar Cemerlang Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dengan nilai keseluruhan lebih RM407,000.
Menurut Pengurus MAIWP Labuan, Md Fadzli Md Saad, pemilihan pelajar dibuat berdasarkan keputusan akhir peperiksaan di peringkat Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Diploma dan Matrikulasi serta perkiraan had kifayah keluarga.
Katanya kadar biasiswa diberikan berdasarkan kos yuran pengajian semasa di institut pengajian berkaitan, elaun sara diri, yuran penginapan dan bahan bacaan mengikut keperluan serta keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Panel Pemilihan Skim Biasiswa MAIWP.
“Bagi sesi 2024/2025, jumlah keseluruhan biasiswa yang disalurkan kepada 12 penerima bernilai lebih RM407,000.
“MAIWP berharap dengan biasiswa yang diberikan ini dapat menjadi pembakar semangat untuk bergelar seorang graduan yang berjaya kelak,” katanya pada Majlis Penyampaian Biasiswa Insentif Khas Pelajar Cemerlang MAIWP, baru-baru ini.
Hadir sama Timbalan Pengurus Operasi MAIWP Labuan, Mohd Radzaleih Matusin dan Ketua Unit Agihan Zakat MAIWP Labuan, Nur Atilla Jasneh.
Sementara itu, seorang pelajar, Musfarihim Muslim, 20, yang akan melanjutkan pelajaran dalam bidang Sarjana Muda Kejuruteraan Binaan di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) menzahirkan rasa syukur dan terima kasih kepada MAIWP kerana menawarkan biasiswa berkenaan.
Beliau yang merupakan seorang pelajar cemerlang menerima kadar biasiswa tertinggi berbanding pelajar lain iaitu sejumlah RM45,400.
“Dengan biasiswa ini dapat meringankan beban ahli keluarga saya untuk membiayai kos sepanjang pengajian.
“Saya amat berterima kasih kepada MAIWP dan pembayar zakat kerana terpilih untuk menerima biasiswa ini,” katanya. – WILAYAHKU