Berita

Penunggang ‘motosikal jalan sendiri’ selamat, alami cedera ringan

Foto: tangkap layar pemilik
- Diterbit 10 Oktober 2024 3:05 PM MYT

PENUNGGANG motosikal terlibat kemalangan di Lebuhraya Persekutuan yang rakaman video mengenai motosikal miliknya ‘bergerak sendiri’ tular sejak semalam dilaporkan selamat dan hanya mengalami kecederaan.

Perkara itu disahkan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Ja’afar dalam satu kenyataan pada Khamis.

Menurut beliau, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya telah mengesan video berdurasi 39 saat itu yang tular di media sosial X.

Katanya, video tersebut memaparkan sebuah motosikal jenis Modenas GT 128 telah ‘berjalan tanpa penunggang’ di Lebuhraya Persekutuan menghala ke Shah Alam.

“Mangsa dapat dikesan dan mengalami kecederaan di tangan dan belakang badan.

“Siasatan awal mendapati berlaku kemalangan melibatkan dua motosikal di lorong motosikal Lebuhraya Persekutuan menghala ke Shah Alam menyebabkan mangsa iaitu penunggang motosikal berkenaan terjatuh.

“Motosikal yang ditunggangnya itu pula telah bergerak masuk ke laluan utama dan terakam oleh kamera papan pemuka (dashcam) kenderaan lain,” katanya.

Beliau berkata, pihak polis telah berjaya mengesan mangsa melalui pemilik rakaman dashcam berkenaan.

“Mangsa akan hadir membuat laporan polis berhubung kejadian itu,” katanya.

Pihaknya turut meminta saksi lain kejadian untuk tampil membantu siasatan. – WILAYAHKU

@wilayahku Mana la pemilik motorsikal ni… #fyp #wilayahku ♬ original sound – MEDIA WARGA KOTA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas