Artikel

Penulis tidak boleh mengalah

- Diterbit 9 Julai 2024 4:08 PM MYT

KERAMAHANNYA membuatkan sesi temu bual terasa berlalu begitu pantas. Tutur katanya yang tersusun menunjukkan kematangan dan pengalamannya malah ia juga menjadi modal bagi dirinya menarik masyarakat untuk terus membaca karya-karya yang dihasilkan.

semangat serta keazaman yang tinggi untuk menggapai impian sehingga berjaya dalam bidang penulisan.

Menurut penulis berbakat yang berasal dari Jawa Barat Indonesia, Nuril Basri, beliau bersyukur kerana dapat merasai nikmat sebenar kehidupan yang penuh dengan kebahagiaan, keseronokan dan ketenangan apabila dapat melakukan perkara yang diminatinya.

“Bakat dan minat adalah dua perkara yang berbeza, pandai melakukan sesuatu tidak bermaksud itulah perkara yang kita minat namun yang pasti, hidup akan lebih bermakna sekiranya dapat melakukan apa yang diminati.

“Saya bersyukur dapat mencapai impian sebagai seorang penulis dan menjadikannya kerjaya tetap kerana amat meminati bidang penulisan.

“Bakat menulis boleh singgah dalam kamus hidup sesiapa sahaja asalkan mereka mempunyai minat, kehendak dan kesungguhan. Penghasilan karya yang baik bukan bergantung kepada bakat semata-mata tetapi juga memerlukan usaha tanpa jemu untuk menambah ilmu pengetahuan melalui pembacaan luas termasuk siaran media cetak dan elektronik.

“Ketahuilah anda tidak akan berjaya menjadi penulis sekiranya anda tidak menjadi pembaca terlebih dahulu. Penulis mestilah suka membaca kerana seorang ulat buku dapat memikirkan tentang pelbagai idea daripada bahan pembacaannya. Golongan penulis perlu memperbanyakkan rujukan atau bacaan untuk menghasilkan karya kreatif bermutu tinggi dan mengangkat tema secara bijaksana.

“Untuk menjadi seorang penulis yang baik, anda perlu rajin membaca, menelaah dan memerhati kerana ia adalah cara terbaik untuk terus belajar dan berkembang. Yang paling penting, jangan berhenti menulis. Ingatlah, hampir semua penulis terkenal pernah mengalami manuskrip atau ideanya ditolak oleh penerbit berkali-kali,” ujar beliau.

Berkongsi kehidupan sebagai penulis, Nuril berkata antara faktor yang mendorong beliau untuk mencapai cita-citanya itu adalah kerana industri penulisan menawarkan beberapa kelebihan iaitu berpotensi besar meraih pulangan lumayan melebihi kerjaya makan gaji, masa yang fleksibel dan peluang mendidik masyarakat melalui karya dihasilkan.

“Namun seperti kerjaya lain, bidang itu juga menjanjikan cabaran terutama untuk penggiat baharu bagi mengetengahkan nama, menerbitkan manuskrip dan menarik minat pembaca.

“Seorang penulis tidak boleh mengalah dan perlu membuang jauh perkataan gagal selain gigih berusaha mencari kaedah tambahan untuk menjual karya yang dihasilkan. Seiring kecanggihan teknologi kini, terdapat pelbagai cara yang boleh digunakan untuk mempromosi dan memasarkan produk penulisan sekali gus mencari peluang membina nama.

“Selain itu, ilham adalah aset penting bagi setiap penulis. Justeru, penggiat bidang itu harus bijak menjana idea dengan cara tersendiri. Kalau saya punya idea, saya tidak akan biarkan begitu saja sebaliknya akan terus menulis tidak kira di mana pun,” ujarnya.

Mula menulis ketika berusia 22 tahun, Nuril menekankan hal yang paling dititikberatkan olehnya adalah peningkatan mutu karya dan estetika.

“Biasanya selepas sesebuah karya itu terbit, saya ambil masa untuk meneliti kelemahan dan kekurangan yang sepatutnya dihindarkan,” ujarnya.

PASARAN INDONESIA & MALAYSIA

BERPENGALAMAN selama 15 tahun dalam bidang penulisan, novel karya jejaka berusia 37 tahun yang berjudul Gula, Dosa, Sunyi, Enak dan Romantis itu turut diminati oleh pencinta buku di Malaysia.

“Saya diundang oleh penerbit Buku Fixi untuk datang ke Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) bagi meraikan para peminat di Malaysia. Ia merupakan satu pengiktirafan serta kenangan berharga yang tidak akan dilupakan.

“Tanpa Malaysia rasanya seperti mati lampu. Terima kasih yang tidak terhingga diucapkan kepada pihak PBAKL kerana memberikan peluang kepada saya,” ujarnya.

Menurut Nuril, industri buku di Malaysia dan Indonesia mempunyai perbezaan yang dipengaruhi oleh pelbagai faktor antaranya adalah dari segi skala dan jangkauan pasaran.

“Dengan populasi lebih dari 279 juta orang, Indonesia mempunyai pasaran buku yang lebih luas dan pelbagai berbanding Malaysia yang mempunyai populasi sekitar 34 juta orang. Jumlah buku yang diterbitkan di Indonesia setiap tahun adalah sangat tinggi dengan pelbagai genre dan kategori. Pasaran buku di Indonesia juga didorong oleh populasi pelajar yang besar di samping inisiatif literasi yang meluas.

“Di Malaysia, walaupun pasaran buku lebih kecil, ia tetap dinamik dan terus berkembang terutamanya dengan acara sokongan seperti PBAKL selain pelbagai inisiatif kerajaan untuk mempromosikan budaya membaca termasuk dengan pemberian baucar buku seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim,” ujar beliau.

Tambahnya, salah satu faktor utama mengapa banyak buku dari Indonesia dibawa masuk ke Malaysia adalah kerana kesamaan bahasa dan budaya yang membolehkan karya-karya tersebut mudah diterima oleh pembaca Malaysia.

“Namun, senario yang sama sukar dilihat berlaku di Indonesia mungkin kerana beberapa faktor seperti industri penerbitan di Indonesia adalah lebih besar dan lebih kompetitif dengan banyak penerbit besar yang dominan. Ini menyebabkan persaingan yang sengit dan menyukarkan buku dari luar termasuk Malaysia untuk mendapat tempat di pasaran.

“Selain itu, selera dan preferensi pembaca mungkin berbeza. Buku dari Malaysia mungkin memerlukan lebih banyak usaha pemasaran dan adaptasi untuk menarik minat pembaca Indonesia. Faktor persepsi dan branding buku dari Indonesia sering dianggap lebih menarik dan memiliki daya tarikan komersial yang kuat di Malaysia. Ini mungkin kerana beberapa penulis Indonesia telah mencapai status kultus atau telah diadaptasi ke dalam bentuk lain seperti filem dan drama yang membantu meningkatkan populariti mereka.

“Seterusnya, hubungan dan kerjasama antara penerbit di kedua-dua negara juga memainkan peranan penting. Contohnya, program pertukaran budaya dan literasi serta pameran buku bersama boleh membantu meningkatkan visibiliti buku Malaysia di Indonesia,” ujarnya.

USAH BUNUH INDUSTRI BUKU

DALAM masa sama, Nuril berkata budaya membaca perlu dikekalkan lantaran menyedari kegagalan berbuat demikian bakal ‘membunuh’ industri buku serta karyawan.

“Kegagalan mengekalkan budaya membaca akan menghancurkan usaha kerajaan dalam membina negara bangsa yang berjaya. Semua pihak perlu berganding bahu untuk menerapkan budaya membaca bagi melahirkan masyarakat bertamadun, berilmu pengetahuan dan berkeperibadian unggul.

“Ia juga membunuh industri buku dan karyawannya. Pihak kerajaan dan agensi berkaitan perlu melaksanakan usaha yang lebih giat bagi memajukan lagi industri penerbitan buku tempatan dan menggalakkan aktiviti yang berkaitan dengannya,” ujar beliau. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas