Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Artikel

Penulis perlu berani

- Diterbit 21 Jun 2024 12:00 PM MYT

BERGELAR seorang penulis, tidaklah sepopular penyanyi ataupun pelakon malah perjalanan yang harus ditempuhi juga tidak semudah yang disangka.

Pelbagai liku-liku kehidupan perlu dilalui sebelum berjaya meletakkan diri sebaris penulis hebat lain serta mempunyai pengikut tersendiri.

Namun di suatu saat seseorang penulis itu berjaya menghasilkan karya kreatif yang baik, ia bagaikan suatu kepuasan yang tidak dapat diterjemahkan.

Hanya berbekalkan minat sebagai panduan untuk menggerakkan mata pena di atas kertas, tahun 2010 menjadi saksi titik permulaan Nadia Mohamad Hatta atau nama penanya Nadia Khan bergelar seorang penulis.

Kongsinya kepada Wilayahku, keinginan untuk menyampaikan cerita mendorongnya untuk terus menulis meskipun penulisan tersebut tidak dibaca oleh ramai orang.

“Menulis sebahagian daripada jiwa saya dan tak pernah beranggapan jadi penulis sebab nak glamor, kaya dan sebagainya. I consider myself as storyteller before be a writer.

“Bagi saya terutamanya untuk penulis buku, takde istilah bersara di mana selagi bernyawa saya akan terus menulis dan itu memang minat saya sejak di bangku sekolah,” ujarnya yang mempunyai pengalaman 13 tahun dalam dunia penulisan.

Berkongsi kehidupan sebagai penulis, Nadia berkata ilham untuk memulakan sesebuah penulisan boleh didapati di mana-mana dan pada bila-bila waktu sahaja.

“Ilham adalah benda paling mudah dalam menulis di mana sehari boleh dapat dalam 10 ilham namun disiplin untuk mengembangkan dan menyiapkan sesebuah naskhah dengan jalan cerita menarik itu yang tidak mudah.

“Sebab itu setiap orang rasakan diri mereka boleh menulis tapi kena faham tak semua boleh menulis dengan baik kerana ia perlu datang dengan disiplin, bakat dan sebagainya.

“Jadi apa yang saya buat untuk mendapatkan disiplin itu adalah dengan membina profil yang jelas serta terperinci untuk semua watak di dalam novel itu, kemudiannya kita campak kesemua watak tersebut ke dalam situasi-situasi yang ada dalam fikiran dan watak-watak itu akan tulis cerita tersebut untuk kamu,” ujarnya.

Kongsinya, setiap watak akan memberi reaksi berbeza bergantung kepada perwatakan mereka untuk setiap situasi yang berlaku.

“Sebab itu apabila ada peminat yang minta sequel untuk mana-mana novel, saya akan cakap ia bergantung kepada bagaimana watak tersebut berkembang sekiranya ia tidak kuat untuk dijadikan cerita saya tidak akan menulis,” kongsinya yang juga merupakan graduan perubatan.

Mengulas lanjut, Nadia berkata kebiasaannya dia mengambil masa sekurang-kurangnya satu tahun dalam menyiapkan sesebuah naskhah.

“Saya akan mula dengan peringkat profile building, kaji selidik dan sebagainya dalam usaha untuk memperincikan perwatakan setiap watak yang akan wujud.

“Berbekalkan komputer riba, sebuah buku nota, sebatang pen dan secangkir kopi saya akan bercakap dengan watak-watak untuk novel tersebut dan daripada situ jalan cerita akan terbentuk,” ujarnya.

Beliau yang juga merupakan penulis bagi novel popular Kelabu dan Gantung berpendapat kerjaya sebagai seorang penulis di Malaysia adalah selamat selagi mana individu tersebut bijak mencari peluang.

“Pekerjaan apa pun yang kita ceburi, pasti akan berjaya kalau kita pandai mencari dan memanfaatkan setiap peluang yang ada begitu juga dengan penulis. Mereka tidak boleh tertumpu dengan hanya menulis novel sahaja dengan skil yang mereka ada itu juga boleh digunakan untuk menulis skrip, buku tahunan, copywriting dan sebagainya.

“Sebagai penulis, perlu berani dan bijak untuk mempromosikan skil yang ada agar orang nampak bakat kita,” jelasnya lagi.

Nadia berkata memilih kerjaya penulis tidak semudah membaca sebuah karya, buat mereka yang berminat dengan dunia ini tulislah cerita yang baik (just write a good story).

“Antara tips untuk bergelar penulis yang baik adalah niat untuk menulis itu perlu lebih kuat daripada ingin menjadi penulis. Adakah jika anda bukan seorang penulis anda akan terus menulis cerita itu, adakah cerita tersebut akan mencengkam hidup anda, kalau ya, anda memang patut menulis.

“Dunia buku ni ada pasaran untuk apa sahaja jenis karya jadi teruslah menulis cerita yang bagus dan bermanfaat buat pembaca,” ujarnya.

Nadia turut berharap industri perbukuan akan terus berkembang sama ada secara cetak mahupun atas talian. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas