Berita

Penubuhan MTN bukan bertujuan menggantikan MPPN

- Diterbit 14 Februari 2025 11:05 AM MYT

MAJLIS Tenaga Negara (MTN) yang dipersetujui penubuhannya semasa mesyuarat Kabinet pada 17 Disember 2021 tidak bertujuan untuk menggantikan Majlis Penasihat Petroleum Negara (MPPN).

Sebaliknya menurut Kementerian Ekonomi, ia sebagai platform utama bagi menyelesaikan isu struktur merentas bidang dalam konteks sektor tenaga yang lebih meluas.

“Selain itu MTN berperanan penting memastikan akauntabiliti yang kukuh antara kementerian dan agensi berkaitan dalam melaksanakan inisiatif-inisiatif di bawah Dasar Tenaga Negara (DTN) dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR).

“Mesyuarat Jemaah Menteri pada 17 Disember 2021 bersetuju dengan penubuhan MTN yang dipengerusikan Perdana Menteri serta dianggotai wakil kementerian dan agensi berkaitan sektor tenaga serta Kementerian Ekonomi berperanan sebagai urusetia,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat.

Kementerian itu menjawab soalan mengenai sama ada fungsi MTN adalah bertujuan menggantikan MPPN dan sejauh mana negeri-negeri pengeluar minyak dan gas dilibatkan dalam MTN.

Kementerian Ekonomi menambah, buat masa ini, keahlian MTN adalah berdasarkan kepada peranan berkaitan tadbir urus dan kawal selia sektor tenaga dan tidak mengambil kira kapasiti keahlian sebagai negeri pengeluar minyak dan gas.

Namun begitu katanya, wakil daripada negeri-negeri pengeluar minyak dan gas akan dijemput sebagai Ahli Jemputan dalam MTN sekiranya terdapat keperluan.

“Pengukuhan tadbir urus sektor tenaga adalah diperlukan untuk memastikan perancangan sektor tenaga diolah secara holistik serta objektif DTN dan NETR dapat dicapai.

“Ini kerana tadbir urus sektor tenaga menghadapi cabaran berkaitan perancangan dasar dan pemantauan berikutan fungsi dan tanggungjawab sektor tenaga terletak di pelbagai kementerian dan agensi serta keperluan sektor tenaga dalam pengurusan peralihan tenaga serta mengimbangi trilema tenaga iaitu jaminan bekalan tenaga, akses kepada bekalan tenaga dan kelestarian alam sekitar.

“Selain itu tadbir urus dan kawal selia sektor tenaga juga terbahagi mengikut wilayah iaitu Semenanjung, Sabah dan Sarawak,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas