BAGI memberi perlindungan kepada kucing liar atau terbiar di kawasan kota raya, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menubuhkan Laman Kucing yang terletak di Jalan Budiman, Bandar Tun Razak.
Pengarah Eksekutif Pembangunan Sosioekonomi DBKL, Ismadi Sakirin berkata inisiatif penubuhan Laman Kucing yang dicetuskan Ali Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Bekas Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri PMgr Sr Kamarulzaman Mat Salleh adalah bagi mengelakkan berlakunya pandangan negatif segelintir masyarakat terhadap kaedah dan tatacara DBKL menangani isu tersebut.
Katanya, matlamat penubuhan itu sudah tentunya bertujuan untuk memberi perlindungan kepada kucing liar atau terbiar yang kian bertambah setiap hari sekali gus memerlukan satu mekanisme efektif agar setiap masalah yang timbul dapat ditangani sebaik-baiknya.
“Selain itu, ia juga adalah usaha bagi mewujudkan masyarakat yang prihatin terhadap kebajikan haiwan kesayangan serta usaha menangani isu berkaitan.
“Penubuhan laman ini juga merupakan usaha murni pihak DBKL dalam memberikan keperluan asas seperti makanan, tempat tinggal dan rawatan bagi mengawal isu lambakan kucing liar dan ia dapat mengurangkan kekacauan haiwan tersebut di tempat awam,” ujarnya.
Tambah beliau, pihak DBKL mengambil inisiatif melancarkan Program Adopsi Kucing yang bertujuan mengurangkan populasi kucing jalanan dan terbiar di sekitar Kuala Lumpur.
Program adopsi ini akan dijalankan dengan kerjasama DBKL bersama badan bukan kerajaan (NGO) yang sering menjalankan program adopsi di kompleks beli-belah.
“Ia diharap mampu memberi rumah baru serta kasih sayang kepada kucing jalanan dan pada masa sama dapat meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan menjaga dan menyayangi haiwan,” ujarnya pada Majlis Perasmian Laman Kucing DBKL pada Selasa.
Turut hadir Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Datuk Azman Abidin dan Pengarah Jabatan Kesihatan dan Alam Sekitar DBKL, Dr Umi Ahmad.
Tambah Ismadi, setiap kucing yang akan diadopsi dikenakan caj RM200 kerana kucing-kucing yang ditempatkan di Laman Kucing DBKL ini telah lengkap diberi rawatan, suntikan vaksin dan dimandulkan (kembiri).
“Adalah penting kucing-kucing ini dimandulkan bagi mengawal populasi kucing di sekitar Kuala Lumpur selain kucing yang akan diadopsi disantuni dengan sebaiknya bagi mengelakkan haiwan tersebut berkeliaran tanpa diurus.
“Diharapkan laman kucing ini dapat memupuk kesedaran dan keprihatinan warga kota terhadap kucing liar dan seterusnya menjadikan Laman Kucing DBKL sebagai salah satu ikon di Kuala Lumpur,” ujarnya.
Terdahulu, Laman Kucing DBKL merupakan satu platform bagi memperkasakan Program Adopsi Kucing di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. – WILAYAHKU