PENTADBIR di institusi pendidikan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) diingatkan untuk mematuhi garis panduan sedia ada berkaitan dengan penganjuran program dan penerimaan sumbangan.
KPM dalam satu kenyataan berkata pihak kementerian mengambil perhatian serius isu penganjuran program amal di sebuah sekolah yang melibatkan sumbangan syarikat minuman keras seperti yang dilaporkan media baru-baru ini.
Menurutnya, isu tersebut berada dalam perhatian KPM dan siasatan lanjut sedang dijalankan.
“KPM mengalu-alukan usaha sekolah untuk menganjurkan program dan mendapatkan sumbangan bagi tujuan pembangunan selaras dengan inisiatif Sekolah Milik Masyarakat.
“Namun ini perlu dilaksanakan berdasar kepada Surat Pekeliling Ikhtisas Bilangan 3 Tahun 2018.
“Ia melarang sumbangan yang melibatkan hasil aktiviti perjudian, rokok, dadah, minuman keras dan seumpamanya yang boleh menjejaskan perkembangan potensi murid dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani,” katanya hari ini.
Tambahnya, KPM sentiasa proaktif menangani gejala sosial dalam kalangan generasi muda.
“Pelbagai program kesedaran dan pendidikan pencegahan dianjurkan di sekolah bertujuan untuk memberi bimbingan kepada murid,” ujarnya. – WILAYAHKU