Berita

Penolakan MoU: Bawa bencana besar kepada rakyat

- Diterbit 20 September 2024 9:40 AM MYT

PENOLAKAN memorandum persefahaman (MoU) antara Kerajaan Persekutuan dengan ahli Parlimen pembangkang oleh blok pembangkang disifatkan satu bencana besar kepada rakyat.

Pensyarah Kanan Jabatan Sains Politik, Pentadbiran Awam dan Kajian Pembangunan Universiti Malaya (UM), Dr Mohamad Tawfik Yaakub berkata ia adalah kerana peruntukan dan dana yang akan disuntik bagi tujuan pembangunan dan kebajikan.

“Bagi saya MoU ini masih berada di peringkat perbincangan dan rundingan maka tidak wajar ditolak sedemikian kerana ruang untuk memastikan draf MoU diterima oleh kedua-dua pihak masih ada.

“Suara yang menyatakan draf ini menyebabkan hak istimewa orang Bumiputera Melayu terancam menerusi pembahagian sama rata tidak betul kerana Perlembagaan telah menjamin hak istimewa orang Melayu dan Bumiputera.

“Malah apa yang dikatakan hanya sekadar jangkaan bukan realiti sebenar,” katanya ketika dihubungi Wilayahku baru-baru ini.

Tambah Mohamad Tawfik, isu berbangkit berhubung MoU tersebut memerlukan satu ‘political will’ atau azam politik serta kematangan berpolitik demi rakyat.

“Jika dilihat apa yang cuba dilakukan oleh pihak pembangkang hanyalah merupakan satu gimik politik untuk memastikan mereka terus mendapat perhatian rakyat.

“Pada hakikatnya, mereka sudah ketandusan isu dan berhadapan defisit kepercayaan rakyat setelah gagal membentuk Kerajaan Persekutuan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu,” ujarnya.

Jelas Mohamad Tawfik, adalah lebih baik MoU tersebut dilaksanakan terlebih dahulu bagi melihat keberkesanan serta hasilnya.

“Bagi saya MoU itu perlu dilaksanakan terlebih dahulu dan jika benar dakwaan pembangkang terjadi maka tamatkanlah MoU dan biarlah rakyat menilai nanti.

“Diharapkan di blok pembangkang jangan jangka perkara yang belum berlaku dan tidak pasti.

“Kemudian saya lihat pembangkang tidak boleh menggunakan ruang terbuka membincangkan tentang MoU kerana sehingga hari ini kedua-dua pihak masih di meja perundingan,” katanya.

Menurut Mohamad Tawfik, pembangkang hanya menggunakan isu MoU bagi bermain politik dan mencari publisiti.

“Pada pendapat saya, ia seperti dilihat blok pembangkang sebenarnya tidak jujur dengan proses serta sekadar mencari publisiti.

“Meskipun pembangkang menolak kita lihat kerajaan masih mahu berunding, jelas keikhlasan dan kejujuran untuk menyalurkan peruntukan berada di pihak kerajaan,” jelasnya.

Mengulas lanjut, beliau menyarankan membentuk satu jawatankuasa khas bagi mengambil alih proses merealisasikan MoU tersebut supaya berjalan lancar.

“Saya menyarankan agar sebuah jawatankuasa khas terdiri daripada tokoh akademik, bekas hakim dan ekonomi ditubuhkan untuk mengambil alih proses merealisasikan MoU ini supaya berjalan lancar dan tidak lagi menimbulkan keraguan oleh mana-mana pihak.

“Jika pembangkang masih menolak MoU selepas itu, saya yakin rakyat akan menolak mereka dalam pilihan raya akan datang.

“Selain itu, kerajaan boleh terus menyalurkan dana dan peruntukan kepada pejabat daerah dan penyelaras parlimen tanpa menunggu MoU ditandatangan,” katanya.

Tambahnya, kerajaan tidak terjejas apa pun kerana peruntukan kepada rakyat boleh disalurkan melalui kaedah lain seperti penyelaras parlimen yang dilantik oleh kerajaan dan pejabat daerah atau pihak berkuasa tempatan.

Katanya, implikasi negatif  kepada pembangkang yang ego dan merosakkan rundingan di tengah jalan apabila membuat siaran makluman secara terbuka ketika perbincangan masih berlangsung.

“Banyak manfaat terutamanya kepada rakyat jika MoU tersebut dapat dilaksanakan.

“Selain itu, MoU ini juga menandakan bermulanya genjatan politik kepada semua Ahli Parlimen dan parti bagi menumpukan usaha menstabilkan politik dan membangunkan ekonomi tanpa sebarang sabotaj yang boleh melemahkan negara setelah kita keluar daripada masalah COVID-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang lalu.

“Di samping itu, ia juga memperlihatkan kematangan politik pembangkang untuk membantu kerajaan ketika negara sedang fokus kepada usaha membangunkan semula pelbagai sektor ekonomi yang terjejas,” tegasnya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas