KECOH baru-baru ini dalam laman sosial mengatakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menarik balik larangan penjualan minuman keras di kedai runcit, serbaneka dan ubat Cina di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
Pelbagai maklum balas diterima di mana rata-ratanya mengecam kerajaan yang dikatakan tidak peka dengan situasi tersebut dan sewenang-wenangnya membuat keputusan.
Tunggu dulu, jangan terlalu cepat menuduh tanpa usul periksa dan memahami situasi tersebut dengan sebaik-baiknya. Faktanya, DBKL tidak pernah menarik balik pembekuan penjualan minuman keras di kedai runcit, serbaneka dan ubat Cina sebaliknya larangan tersebut kekal dikuatkuasakan.
DBKL dalam satu kenyataan dikeluarkan berkata tiada pemansuhan kepada pembekuan pengeluaran lesen baru bagi penjualan minuman keras di kedai runcit, serbaneka dan kedai ubat Cina.
Ia berdasarkan garis panduan dan syarat-syarat permohonan lesen minuman keras (liquor yang memabukkan) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang sedang berkuat kuasa.
Untuk itu, Lembaga Pelesenan Eksais Kuala Lumpur yang baru dilantik telah menjalankan fungsi sedia ada dan hanya mempertimbangkan permohonan pembaharuan lesen.
“Merujuk kepada pernyataan bahawa Lembaga Pelesenan Eksais yang telah bersidang pada 23 November 2023 telah menarik balik larangan penjualan minuman keras di kedai runcit, serbaneka dan ubat Cina adalah tidak benar.
“Ia adalah kerana pertimbangan terhadap penjualan minuman keras di kedai runcit, serbaneka dan kedai ubat Cina masih tertakluk kepada garis panduan yang telah ditetapkan,” katanya.
Menurut DBKL, pihaknya merupakan urus setia kepada Lembaga Pelesenan Eksais Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dalam memproses permohonan Lesen Minuman Keras di Kuala Lumpur.
“Ia selaras dengan perwakilan kuasa di bawah Peraturan 18 Peraturan-peraturan Eksais (Lembaga Pelesen) 1977.
“Lembaga yang bersidang pada 23 November lalu, hanya meluluskan sejumlah 1,519 permohonan pembaharuan lesen borong, rumah awam dan runcit. Tiada lesen runcit baru yang diluluskan,” kata kenyataan tersebut. – WILAYAHKU