Berita

Penjenayah dikehendaki polis ditembak mati

- Diterbit 25 September 2024 4:09 PM MYT

POLIS bertindak menembak mati seorang penjenayah dikehendaki dalam kejadian di Kampung Baru Kundang, Rawang, Selangor, awal pagi tadi.

Lelaki berusia lewat 30-an itu memiliki 26 rekod jenayah lampau iaitu 17 rekod jenayah dan sembilan rekod jenayah narkotik.

Daripada 26 rekod jenayah itu, 10 rekod adalah berkaitan kes pecah rumah atau kedai.

Suspek juga seorang yang pernah dikenakan tindakan di bawah kesalahan mengikut Seksyen 15 (d) Akta Pencegahan Jenayah (Poca).

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, pada pukul 1.15 pagi, sepasukan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya menjalankan risikan maklumat bagi mengesan suspek yang terlibat kes pecah kedai di kawasan Damansara.

Menurut beliau, setibanya di Jalan KBK 4, Kampung Baru Kundang, pasukan Task Force terbabit telah terserempak dengan sebuah kereta jenis Nissan Grand Livina yang dipandu suspek berkait kes disiasat.

“Dalam kejadian tersebut, suspek enggan berhenti lalu bertindak mengundurkan keretanya secara laju dan berbahaya lalu merempuh kenderaan milik polis dan orang awam.

“Polis kemudiannya melepaskan tembakan untuk mempertahankan diri dan menyebabkan kenderaan dipandu suspek terbabas.

“Suspek terkena tembakan dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Katanya, dalam kejadian tersebut, polis menemukan peralatan pecah rumah dalam kenderaan suspek.

Antara yang ditemukan adalah parang, alat pemotong, batang besi, kapak dan alat kikisan cat.

Hussein berkata, satu kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan iaitu mencuba membunuh orang.

caption:
PERALATAN pecah rumah yang ditemukan polis dalam kenderaan milik suspek pecah rumah.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas