Berita

Penjawat awam elak jadi mangsa ceti haram – KOSWIP

- Diterbit 25 Disember 2024 6:35 PM MYT

SUDAH tiba masanya penjawat awam melindungi diri mereka dari dijerut pinjaman yang tidak sah hingga mengakibatkan diri dan keluarga dianiaya pihak pemberi pinjaman haram atau ceti haram.

Pengerusi Koperasi KOSWIP Malaysia Berhad (KOSWIP), Datuk Khairul Walid Mohamed berkata penjawat awam semakin berkembang jumlahnya dan daripada itu, ramai sudah naik pangkat dan gaji maka sudah pastinya, pengurusan kewangan perlulah lebih terurus dan dilindungi.

Katanya, pihaknya terpanggil menyokong kenyataan Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) bahawa penjawat awam perlu dilindungi daripada menjadi mangsa penipuan, termasuk skim pinjaman haram atau ceti haram.

“Pelaksanaan Skim Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) menggantikan Skim Saraan Malaysia (SSM) mulai 1 Disember lalu sudah pastinya memberi senyuman kepada semua penjawat awam tetapi dalam masa sama, ceti haram akan beraksi lebih hebat untuk menjerat mangsanya dengan pelbagai skim haram.

“Skim pinjaman haram sememangnya terlalu mudah untuk diperoleh tetapi kesannya boleh menyebabkan keluarga tergadai serta menjadi mangsa sepanjang hayat manakala apa yang dimiliki selama ini akan hilang begitu sahaja berbanding pinjaman melalui koperasi yang diiktiraf kerajaan melalui Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Khairul berkata, Koperasi KOSWIP Malaysia Berhad menawarkan pelbagai keistimewaan khas termasuk pulangan dividen yang menarik kepada penjawat awam yang berdaftar menjadi anggota koperasi terutamanya golongan muda yang baru menjadi sebahagian keluarga kerajaan Malaysia dan negeri.

Beliau berkata, keistimewaan khas yang ditawarkan tidak dapat diperoleh dari mana-mana koperasi seperti bantuan pendidikan, saguhati bersara, khairat kematian pencarum, kebajikan bencana alam, kebajikan ahli keluarga yang meninggal dunia dan bantuan perubatan.

Sebagai anggota KOSWIP katanya, penjawat awam terutama anak muda bukan sahaja sekadar ahli tetapi menjadi sebahagian daripada komuniti yang mendapat pelbagai faedah kewangan dan peluang pembangunan berikutan koperasi yang mampu memberikan keistimewaan kepada anggotanya untuk meraih manfaat ekonomi sambil membina kekuatan komuniti.

“Malah berdasarkan Laporan Tahunan kewangan KOSWIP menunjukkan pengurusan dan tadbir urus yang kukuh sehingga ia telah dibuktikan melalui dividen yang diagihkan kepada anggota pada tahun 2023 sebanyak 11.8 peratus.

“Maka sudah pastinya, jumlah agihan bagi tahun 2024 pastinya akan lebih menarik yang pastinya memberi kelebihan kepada pencarum apabila KOSWIP akan mengumumkannya kelak.

Beliau berkata, KOSWIP yang berpegang kepada moto ‘Ramai Bagi Satu, Satu Bagi Ramai’ membuktikan ia mampu berdiri teguh selama 101 tahun sekali gus menunjukkan ia sebuah organisasi berpengalaman dalam bidang pengurusan kewangan dan kebajikan kepada pencarumnya.

“KOSWIP bukan sahaja berjaya meningkatkan taraf hidup anggotanya, tetapi turut berperanan besar dalam memajukan sosioekonomi masyarakat.

“Kejayaan ini bukan sekadar diukur melalui keuntungan, tetapi juga melalui pengukuhan hubungan sosial dan perluasan akses kepada peluang ekonomi yang bermanfaat bagi setiap anggotanya,” katanya.

Tambahnya, KOSWIP menerima Anugerah Kelestarian Koperasi yang disampaikan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amiruddin Shari dihadapan lebih 500 peserta, termasuk wakil-wakil koperasi dari pelbagai sektor di Perhimpunan Ikonik Koperasi Selangor, Isnin lalu (16 Disember 2024).

“Anugerah terbabit adalah hasil gabungan kerja keras di antara anggota lembaga lama dan baharu serta semua anggota KOSWIP yang membawa kepada kejayaan ini,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas