Berita

Penjawat awam direman disyaki minta, terima rasuah

- Diterbit 2 November 2024 9:16 PM MYT

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman seorang penjawat awam disyaki meminta dan menerima rasuah kira-kira RM18,000.

Menurut sumber, ia sebagai balasan membantu melantik sebuah perniagaan mendapatkan beberapa perolehan perkhidmatan yang dikeluarkan oleh sebuah jabatan penyiaran negara.

“Suspek iaitu seorang lelaki berusia sekitar 40-an telah ditahan kira-kira pukul 3 petang semalam ketika hadir bagi memberi keterangan di pejabat SPRM Selangor,” katanya.

Susulan penahanan itu, suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Shah Alam dan perintah reman selama tiga hari bermula 2 hingga 4 November terhadap suspek telah dikeluarkan oleh Majistret Ameera Mastura Khamis.

“Suspek dipercayai melakukan perbuatan tersebut pada 2023 dan telah menerima rasuah bernilai kira-kira RM18,000 melalui kemasukan wang ke akaun bank miliknya.

“Siasatan awal mendapati suspek menerima rasuah ini sebagai balasan untuk mendapatkan perolehan perkhidmatan seperi sewaan lori, percetakan bahan promosi, sewaan LED, penyediaan makan dan minum yang melibatkan penganjuran program pada 2023,” katanya.

Sementara itu Pengarah SPRM Selangor, Datuk Alias Salim ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009. – WILAYAHKU

caption: SEORANG penjawat awam direman selepas disyaki meminta dan menerima rasuah sebagai balasan mendapatkan perolehan perkhidmatan seperi sewaan lori, percetakan bahan promosi, sewaan LED, penyediaan makan dan minum yang melibatkan penganjuran program pada 2023.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas