SERAMAI 3,856 penjawat awam dari kategori Orang Kurang Upaya (OKU) berkhidmat dalam perkhidmatan awam pada 2023 berbanding 3,724 orang pada 2022, menurut laporan Statistik OKU Malaysia 2023.
Ketua Perangkawan Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin dalam kenyataan hari ini berkata berdasarkan kumpulan perkhidmatan, majoriti penjawat awam OKU iaitu 66.3 peratus berkhidmat dalam kumpulan pelaksana diikuti kumpulan pengurusan dan profesional (33.5 peratus) serta pengurusan tertinggi (0.2 peratus).
“Kategori OKU fizikal mencatatkan peratusan tertinggi iaitu 65.2 peratus pada 2023 diikuti OKU penglihatan 20.4 peratus dan OKU pendengaran 8.7 peratus,” katanya.
Sementara itu, Mohd Uzir berkata dalam bidang sukan pula, statistik atlet para meningkat 18.3 peratus pada 2023 atau 71 atlet berbanding 60 atlet pada tahun sebelumnya.
“Majoriti atlet para adalah lelaki iaitu 56 orang berbanding 13 orang atlet para wanita.
“Pada temasya Sukan Paralimpik 2024 di Paris, dua atlet para negara telah membawa pulang dua pingat emas melalui acara perseorangan lelaki badminton para dan powerlifting,” katanya.
Mohd Uzir berkata penemuan dalam bidang pendidikan menunjukkan bilangan sekolah pendidikan khas pada 2023 adalah 34 sekolah terdiri daripada 28 sekolah rendah dan enam sekolah menengah manakala bilangan guru pendidikan khas di peringkat sekolah rendah menurun 1.0 peratus kepada 826 orang guru.
“Bilangan guru sekolah pendidikan khas di peringkat menengah meningkat 2.4 peratus kepada 473 orang guru pada 2023.
“Selain itu, bilangan murid sekolah pendidikan khas di peringkat rendah dan menengah juga merekodkan peningkatan pada 2023 iaitu 17.5 peratus atau 1,736 orang serta 0.9 peratus atau 1,055 orang,” katanya.
Beliau berkata bilangan kumulatif OKU berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sehingga 2023 adalah 736,607 orang iaitu 2.2 peratus daripada penduduk Malaysia dengan kategori masalah pendengaran merekodkan pendaftaran tertinggi iaitu 265,503 orang diikuti OKU fizikal 265,221 orang dan OKU penglihatan 63,779 orang.
“Kementerian Kesihatan (KKM) telah merekodkan 831 bayi berumur kurang dari setahun dikesan mempunyai ketidakupayaan manakala 1,453 kanak-kanak berumur 18 bulan pula disyaki menghidap autisme pada 2023,” ujarnya. – WILAYAHKU