Berita

Penipuan tawaran pekerjaan: 128 rakyat Malaysia masih terkandas di luar negara

- Diterbit 21 November 2024 10:51 AM MYT

SERAMAI 128 orang rakyat Malaysia masih terkandas di luar negara selepas menjadi mangsa sindiket penipuan tawaran pekerjaan.

Menurut Kementerian Dalam Negeri (KDN), data sehingga 20 September tahun ini itu menunjukkan pihak polis telah menerima 427 laporan berkaitan jenayah penipuan tersebut.

“Ia membabitkan seramai 557 orang warga Malaysia menjadi mangsa penipuan.

“Daripada jumlah tersebut, seramai 429 orang telah berjaya diselamatkan manakala 128 lagi masih terkandas di luar negara,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat.

Kementerian itu menjawab soalan Datuk Siti Aminah Aching (BN-Beaufort) mengenai usaha diambil kementerian dalam mengatasi sindiket pemerdagangan manusia yang memperdaya mangsa secara dalam talian dengan menawarkan pekerjaan khususnya di luar negara.

KDN menambah, polis secara berterusan melaksanakan usaha menangani sindiket jenayah penipuan pekerjaan dengan mengadakan sesi libat urus bersama pihak berkuasa Kemboja, Thailand, Myanmar dan Laos untuk tujuan perkongsian maklumat serta penyelarasan misi menyelamat mangsa.

Malah katanya, pihak polis juga telah mengenal pasti sindiket yang menjadi dalang terutamanya ejen pekerjaan di negara ini.

Jelasnya, KDN menerusi Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menjalankan siri operasi bersepadu bermula Ogos 2022 sehingga September lalu bertujuan membanteras sindiket penipuan kerja.

Katanya, ia menjurus kepada ejen pekerjaan yang menawarkan pekerjaan terhadap rakyat tempatan untuk bekerja di luar negara.

“Sebanyak lima operasi telah dijalankan dengan kejayaan menumpaskan lima sindiket di Lembah Klang dan Johor.

“Dalam operasi itu, kita berjaya menyelamatkan 25 orang yang disyaki diperdagangkan dan tangkapan seramai 20 warga tempatan.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 12 dan 14 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas