SEORANG wanita antara enam warga China ditahan terlibat sindiket penipuan pelaburan yang beroperasi di sebuah unit pangsapuri di Mont Kiara, di sini Selasa lepas.
Ketua Polis Daerah Brickfields ACP Anuar Omar berkata kesemua suspek berusia lingkungan 26 hingga 32 tahun ditahan dalam serbuan kira-kira 2.05 petang.
“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati kesemua tangkapan membabitkan wanita itu dan lima lelaki warga China telah tinggal di premis tersebut sejak awa Disember tahun lepas. Mereka disyaki menjalankan aktiviti penipuan atas talian.
“Kesemua mereka juga didapati gagal mengemukakan sebarang dokumen perjalanan yang sah semasa diminta berbuat demikian,” katanya kepada Bernama hari ini.
Anuar berkata serbuan berkenaan turut membawa kepada rampasan antaranya sejumlah 11 unit telefon bimbit, empat unit komputer riba selain kad akses unit pangsapuri terbabit.
Beliau berkata kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen dan siasatan lanjut dijalankan.
Anuar dalam pada itu memohon kerjasama orang ramai bagi menyalurkan maklumat berkaitan jenayah dengan cara menghubungi Hotline Polis Brickfields di talian 03-2297 9222 atau mana-mana balai polis berhampiran. – BERNAMA